SHAH ALAM | 14 Julai 2025 – Delegasi pengurusan tertinggi Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh dekannya, Profesor Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Amat Dihormati Dato’ Setia Salahuddin Hisham, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di ibu pejabat MAIS pagi tadi.
Kunjungan yang pertama kali diadakan antara FPI dan Pengerusi MAIS ini telah disambut mesra serta penuh penghargaan oleh pihak MAIS, menandakan permulaan kepada hubungan strategik yang lebih erat antara kedua-dua institusi.
Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara penting telah dibincangkan, termasuk pelaksanaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi tahun 2026 sempena sambutan Jubli Perak DYMM Sultan Selangor. FPI turut menyatakan komitmen untuk membangunkan beberapa cadangan dan kertas kerja seperti yang telah diarahkan oleh Pengerusi MAIS.
Delegasi FPI turut menawarkan kepakaran akademik dalam pelbagai bidang termasuk akidah kontemporari, undang-undang syariah, sijil profesional dan penyelidikan berimpak tinggi. Usaha ini selaras dengan aspirasi FPI untuk memperkukuhkan lagi peranan fakulti sebagai rujukan ilmuwan di peringkat negeri, negara dan antarabangsa.
Menurut kenyataan pihak pengurusan FPI, kunjungan ini bukan sekadar simbolik, tetapi menjadi titik tolak kepada penyebaran kepakaran ahli akademik FPI ke peringkat yang lebih luas.
“Insya-Allah, kami akan terus menjalin hubungan strategik dengan MAIS demi mengangkat martabat FPI UKM sebagai pusat rujukan ilmu Islam yang unggul,” ujar dekan FPI.
FPI menyeru seluruh warga fakulti agar bersedia menyahut cabaran dan tanggungjawab yang bakal digalas hasil kerjasama ini demi memartabatkan institusi dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat Islam di Selangor khususnya dan Malaysia amnya.