FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Berita Semasa
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Riau, Indonesia: Delegasi tujuh orang pelajar siswazah daripada Program Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM telah berjaya menamatkan Program Mobiliti Jejak Ilmu Bumi Nusantara di Universiti Islam Negeri (UIN) Sultan Syarif Kasim (Suska), Riau, Indonesia pada 7 hingga 9 Mei 2026 yang lalu. Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada komponen penilaian kursus PPPC6543 Seminar Bahasa Arab sebagai Bahasa Utama di bawah bimbingan Dr. Lily Hanefarezan binti Asbulah.
 
Sepanjang tiga hari program berlangsung, para pelajar bukan sahaja membawa nama UKM, malah membuktikan kemampuan untuk berinteraksi, berdiskusi dan membentangkan idea ilmiah sepenuhnya dalam Bahasa Arab bersama mahasiswa sarjana UIN Suska. Wacana akademik yang berlangsung menjadi medan latihan keyakinan, ketajaman pemikiran serta pengukuhan budaya ilmu rentas negara.
Turut menjadi sorotan utama ialah jemputan khas kepada Dr. Lily Hanefarezan Asbulah untuk menyampaikan syarahan berkaitan peranan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pengajaran Bahasa Arab kepada mahasiswa perguruan UIN Suska. Perkongsian ini memperlihatkan kesediaan FPI UKM menerajui integrasi teknologi dalam pendidikan bahasa Arab di peringkat serantau.
 
Program ini juga diserikan dengan penglibatan pelajar UKM dalam aktiviti pengimarahan kampus. Saudara Muhammad Na’im bin Mohamed Nasir telah diberi penghormatan menjadi Imam Solat Jumaat di Masjid Al-Jami‘ah UIN Suska, satu pengiktirafan yang mencerminkan kewibawaan dan keterampilan mahasiswa FPI UKM. Selain itu, para peserta turut berpeluang bertemu dan menerima tausiyah daripada pendakwah terkenal Nusantara, Ustaz Abdul Somad (UAS), yang memberikan suntikan motivasi serta penghayatan terhadap peranan ilmu dan dakwah dalam masyarakat.
 
Program mobiliti ini bukan sekadar lawatan akademik, tetapi sebuah pengalaman yang membina jati diri, memperluas horizon pemikiran serta mengukuhkan jaringan kerjasama ilmu antara institusi serantau. Semoga inisiatif seperti ini terus melahirkan graduan UKM yang kompeten, berdaya saing dan mampu membawa citra ilmu Islam ke pentas antarabangsa.