FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Berita Semasa
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

BANGI, 1 Mei 2025 – Fakulti Pengajian Islam (FPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Al-Hidayah Production Sdn. Bhd. telah menganjurkan Khawla Showcase, satu program eksklusif bersempena pelancaran aplikasi Islamic Creative Media (ICM), bertempat di Bangi Golf Resort.

Aplikasi ICM merupakan satu inisiatif inovatif yang didanai oleh Dana INOVASI UKM, dan dibangunkan bagi menyokong penghasilan kandungan digital berteraskan nilai Islam yang mendidik, kreatif dan berimpak tinggi. Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan komitmen UKM dalam memacu pembangunan kandungan media yang bertanggungjawab dan beretika melalui pendekatan interdisiplin serta kolaborasi strategik dengan pihak industri.

Projek ini diterajui oleh Prof. Madya Dr. Rosmawati Mohamad Rasit bersama lima orang penyelidik dari UKM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Aplikasi ini direka khas untuk para pencipta kandungan Islamik dalam pelbagai genre seperti dakwah, pendidikan dan hiburan, agar mereka dapat menyalurkan kreativiti secara berlandaskan prinsip syariah dan nilai-nilai murni.

Dengan mengetengahkan konsep responsible content, ICM berfungsi bukan sahaja sebagai platform penyiaran karya digital, malah sebagai ekosistem sokongan yang menyeluruh untuk pembangunan kandungan yang berkualiti dan membina.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat FPI, Dr. Fadhlan Mohd Othman yang mewakili Dekan FPI. Turut menyerikan acara ialah Ketua Pegawai Eksekutif Al-Hidayah Production, En. Mohd Ashraf Muslim dan Pengarah iKHASAS Group, Yang Mulia Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi Bin Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj.

Program ini menandakan permulaan baharu dalam kerjasama antara akademia dan industri kreatif, dengan matlamat memperkukuh kandungan Islamik yang progresif dan memberi manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

.