Pusat IDEA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) telah menganjurkan program Bual Bicara Industri bertajuk “Akademi Dalam Industri (ADI) & Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT): Membina Kecemerlangan Kerjaya Masa Hadapan” yang diadakan pada 23 Oktober 2025 di Auditorium Siswa, Pusanika UKM. Program Bual Bicara ini merupakan salah satu inisiatif di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan JPK. Program ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara pihak kerajaan, akademi dan industri dalam usaha membangunkan bakat tempatan melalui konsep bekerja sambil belajar. Pendekatan ini memastikan tenaga kerja masa hadapan dapat dibentuk secara mampan, berkemahiran tinggi dan berdaya saing selaras dengan keperluan serta perkembangan semasa pasaran pekerjaan. Perbincangan ini turut membuka ruang kepada kolaborasi lebih erat antara pihak kerajaan, akademia dan industri bagi menjayakan agenda pembangunan modal insan negara. Seramai 21 peserta telah menghadiri program ini yang terdiri daripada Adab Youth Garage (AYG) dan para pelajar UKM. Hasil daripada program ini, pihak Adab Youth Garage (AYG) menyatakan minat untuk berkolaborasi dan menyertai program dan latihan yang ditawarkan dalam ADI dan PPT. Perbincangan lanjut antara AYG, UKM dan JPK akan diadakan bagi membincangkan bentuk kerjasama strategik yang dapat memperkukuh pelaksanaan serta menyokong objektif utama ADI dan PPT dalam memperkasakan pembangunan kemahiran belia dan tenaga kerja negara.
#UKM #IDEAUKM #MoUUKMJPK #BualBicaraIndustri #AkademiDalamIndustri #PengiktirafanPencapaianTerdahulu



