Putrajaya Festival of Ideas (PFOI) 2025 telah berlangsung dari 4 hingga 8 November 2025 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Bersempena penganjuran festival ini, Pusat IDEA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mewakili UKM sebagai penyelaras Pameran Penyelidikan dan Inovasi di bawah Bidang Fokus Malaysia MADANI.
Pameran ini menampilkan tiga subbidang utama, iaitu Inovasi Pendidikan, Dasar dan Polisi, serta Bahasa dan Identiti Nasional, dengan penglibatan tiga institusi pengajian tinggi utama negara, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sepanjang festival berlangsung, sebanyak 39 produk penyelidikan dan inovasi telah dipamerkan di reruai Malaysia MADANI, sekali gus mencerminkan kepelbagaian hasil penyelidikan berimpak tinggi yang menyokong agenda pembangunan negara.
Pameran ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada para pengunjung. Lawatan rasmi ke reruai Malaysia MADANI turut diserikan dengan kehadiran Sufian Jusoh, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, serta Jamia Azdina Jamal, Pengarah Pusat IDEA UKM yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi). Kehadiran barisan pengurusan tertinggi daripada UPSI dan UIAM turut memperkukuh lawatan rasmi ini, sekali gus mencerminkan komitmen bersama institusi pengajian tinggi dalam mendukung aspirasi Malaysia MADANI.
Secara keseluruhannya, penyertaan pada hari pertama pameran telah berjaya menonjolkan kekuatan penyelidikan dan inovasi daripada pelbagai institusi yang menyokong aspirasi Malaysia MADANI, khususnya dalam memperkasa ekosistem pendidikan negara, memperkukuh pembangunan dasar dan polisi, serta memartabatkan bahasa kebangsaan dan identiti nasional.







