Pusat IDEA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kluster Penyelidikan dan Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) UKM telah mengadakan kunjungan hormat ke beberapa organisasi dan agensi strategik di Negeri Perak bagi memperkukuh pelaksanaan Projek Geopark Lenggong pada 4 hingga 6 Februari 2026.
Kunjungan ini merupakan susulan kepada Sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) dan Program Advokasi Kepenggunaan yang telah diadakan bersama pihak berkepentingan di Lenggong Geopark sebelum ini. Lawatan ini melibatkan pertemuan dengan tiga organisasi utama, iaitu Registrar of Societies Malaysia (ROS), Think City Sdn. Bhd., serta Ministry of Tourism, Arts and Culture Malaysia (MOTAC).
Kunjungan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bertujuan mendapatkan panduan serta input berkaitan proses penubuhan organisasi yang berkaitan dengan Geopark dan Friends of Lenggong (FoL), di samping meneroka peluang perkongsian maklumat pangkalan data pertubuhan berdaftar yang berpotensi untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan inovasi. Sementara itu, pertemuan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Think City Sdn. Bhd. memberi ruang untuk membentangkan idea-idea penyelidikan berkaitan pembangunan Geopark Lenggong yang dirumuskan daripada dapatan sesi FGD, di samping meneroka potensi kerjasama strategik serta peluang pendanaan bagi menyokong pelaksanaan projek tersebut.
Hasil daripada perbincangan yang diadakan, beberapa perkara strategik telah dikenal pasti termasuk perkongsian maklumat berkaitan pangkalan data pertubuhan berdaftar yang berpotensi untuk menyokong penyelidikan dan inovasi, persetujuan rakan pelaksana komuniti bagi tujuan permohonan Dana Inovasi Sosial (DIS), serta cadangan untuk memberi tumpuan kepada inisiatif GeoYouth dan GeoEntrepreneur melalui penyediaan kertas kerja bagi mendapatkan sumber pembiayaan. Selain itu, pihak agensi yang terlibat turut menyatakan kesediaan untuk menyokong pelaksanaan projek penyelidikan, pelancongan serta pemerkasaan sosioekonomi komuniti secara mampan di kawasan Lenggong.
Secara keseluruhannya, kunjungan strategik ini memperlihatkan komitmen berterusan Pusat IDEA UKM dan rakan kolaborasi dalam memperkukuh jaringan kerjasama bersama agensi kerajaan, organisasi dan komuniti bagi memacu pembangunan Geopark Lenggong sebagai ekosistem pendidikan, penyelidikan dan pelancongan berasaskan komuniti yang mampan.
#IDEAUKM #UKMSharing



