Pusat IDEA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama Kluster Penyelidikan dan Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU), Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UKM dengan kerjasama Friends of Lenggong (FoL), telah melaksanakan Program Sesi Perbincangan Kumpulan Berfokus (FGD) dan Advokasi Kepenggunaan K.I.T.A GEMPUR bersama pihak berkepentingan di Lenggong Geopark pada 29 hingga 31 Disember 2025.
Program selama tiga hari ini menggabungkan elemen advokasi kepenggunaan, lawatan lapangan serta sesi perbincangan kumpulan berfokus (FGD) bagi menghimpunkan pandangan dan input strategik daripada pelbagai pihak berkepentingan berkaitan pembangunan mampan komuniti Geopark Lenggong. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran kepenggunaan dalam kalangan masyarakat setempat, di samping memperkasa komuniti dan usahawan tempatan melalui penglibatan aktif dalam perbincangan pembangunan berasaskan komuniti.
Sepanjang program berlangsung, perbincangan turut meneliti potensi pembangunan Geoeducation Tourism sebagai salah satu pendekatan strategik dalam memanfaatkan keunikan sumber warisan dan alam semula jadi Lenggong. Di samping itu, sesi perbincangan bersama komuniti juga memberi ruang untuk membincangkan penyediaan dokumen komuniti bagi tujuan pendaftaran dengan Registrar of Societies Malaysia (ROS), sebagai langkah memperkukuh struktur organisasi komuniti setempat.
Integrasi antara sesi FGD, advokasi kepenggunaan K.I.T.A GEMPUR serta aktiviti lawatan lapangan sepanjang program ini telah membantu memperkukuh pemahaman bersama serta meningkatkan tahap penglibatan komuniti dalam usaha membangunkan ekosistem ekonomi setempat yang lebih mampan. Melalui pendekatan kolaboratif antara akademia, komuniti dan agensi berkepentingan, program ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan berdaya tahan di Geopark Lenggong.
#IDEAUKM #UKMSharing







