Pusat IDEA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) Dinamika TVET UKM dan Adab Youth Garage (AYG) telah mengadakan kunjungan hormat ke Bahagian Pentauliahan, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), di Putrajaya pada 30 Januari 2026.
Kunjungan hormat ini merupakan sebahagian daripada inisiatif susulan di bawah pelaksanaan aktiviti Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dan JPK yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pembangunan kemahiran serta pemerkasaan belia. Sesi perbincangan ini memberi ruang kepada pihak terlibat untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai proses pentauliahan di bawah JPK serta mengenal pasti potensi peranan UKM melalui Pusat IDEA dan KPU sebagai tenaga pengajar dalam program pembangunan kemahiran.
Dalam pertemuan tersebut, beberapa perkara strategik telah dibincangkan termasuk cadangan penganjuran Kursus Induksi Akademi Dalam Industri (ADI), pengesahan peserta serta jurulatih yang berkelayakan, dan padanan kepakaran KPU dengan kumpulan sasaran yang diselaraskan oleh AYG. Perbincangan turut meneliti keperluan penyediaan pelan pengiktirafan pentauliahan bagi menyokong pelaksanaan program latihan, di samping cadangan untuk memperluas kumpulan sasaran program termasuk penyertaan golongan warga emas sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan komuniti.
Selain itu, sesi ini turut membuka ruang kepada pengukuhan jalinan kerjasama strategik bersama pelbagai rakan kolaborasi dalam usaha memastikan pelaksanaan program latihan dan pembangunan kemahiran dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Secara keseluruhannya, kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan antara UKM, JPK dan rakan kolaborasi dalam memperkasa pembangunan kemahiran belia serta memperluas peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat.
#IDEAUKM #UKMSharing #JPK #MoUUKMJPK #AYG #PembangunanBelia


