Pusat IDEA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diberi penghormatan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia untuk bertindak sebagai penyelaras reruai bagi pihak universiti dalam Program Rancakkan MADANI 2025 yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember 2025 di Dataran Putrajaya.

Bertemakan STEM dan Kecerdasan Buatan (AI), UKM telah menampilkan empat produk penyelidikan utama iaitu Learning Kit: Introduction to Fuel Cell, Mettareka, Drone Soccer dan Sifira Game Multiplication Table. Produk-produk ini mencerminkan usaha penyelidik universiti dalam mengintegrasikan elemen sains, teknologi dan inovasi dalam pembangunan penyelesaian pembelajaran yang kreatif serta berimpak kepada masyarakat.

Sepanjang program berlangsung, komponen STEM dan AI di ruang reruai UKM telah menjadi antara tarikan utama dengan kehadiran kira-kira 3,000 pengunjung yang berpeluang meneroka serta memahami teknologi yang dipamerkan secara langsung bersama para penyelidik dan pencipta produk. Interaksi ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat dengan lebih dekat potensi teknologi dan inovasi yang dibangunkan oleh warga universiti.

Pameran ini turut membuka ruang kepada pelbagai pihak termasuk penyelidik, pemain industri dan agensi kerajaan untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang penyelidikan, pemindahan teknologi serta pembangunan inovasi berimpak tinggi. Penyertaan UKM dalam program ini sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju inovasi serta pemangkin kepada pembangunan ilmu dan teknologi di peringkat nasional.

Program Rancakkan MADANI merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam memperkasa kefahaman masyarakat mengenai konsep Malaysia MADANI melalui penglibatan komuniti, aktiviti interaktif, pameran dan perkongsian ilmu. Program ini dianjurkan oleh Prime Minister’s Office Malaysia melalui Performance Acceleration and Coordination Unit (PACU) dengan kerjasama Public Service Department Malaysia (JPA) dan Malaysia Productivity Corporation (MPC).

#UniversitiKebangsaanMalaysia #IlmuMutuBudi #UKM #UKMSharing

No photo description available.

Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.

You may use these <abbr title="HyperText Markup Language">HTML</abbr> tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

*