Prasiswazah FST

FAKULTI SAINS & TEKNOLOGI

Prasiswazah

Persoalan Umum

1. Bilakah pelawaan iklan Permohonan Kemasukan ke UKM disiarkan?

Pelawaan iklan permohonan kemasukan ke UKM bagi semua kemasukan sekitar bulan Februari sehingga April setiap tahun (tertakluk kepada pindaan).

 

2. Bilakah keputusan permohonan ke Program Sarjana Muda UKM diumumkan?

Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf sekitar bulan Ogos bagi kemasukan September.

 

3. Bagaimanakah    mendapatkan     borang     permohonan     kemasukan     ke     UKM   ?

Permohonan kemasukan ke UKM adalah dengan mengguna pakai Aplikasi Dalam Talian UPU sepenuhnya melalui laman web http://upu.mohe.gov.my KECUALI calon Isi Rumah Terendah B40 boleh didapati di Akademik UKM dan calon Bukan Warganegara/Antarabangsa melalui Pusat Kembangan Pendidikan

 

4. Adakah UKM membuka permohonan pada Semester 2?

Tidak, kemasukan ke UKM hanya sekali sahaja iaitu pada kemasukan Semester 1 pada bulan Ogos/September setiap tahun.

 

5. Bagaimana mendapatkan Nombor Unik ID

Nombor Unik ID bagi permohonan kemasukan ke UKM melalui Aplikasi Dalam Talian UPU boleh dibeli di kaunter Bank Simpanan Nasional atau menggunakan mesin ATM atau SMS Banking bagi pemegang akaun GIRO sehari selepas iklan disiarkan.  Tiada Nombor Unik ID diperlukan untuk permohonan melalui lamanweb UKM.

 

6. Perlukah saya sertakan salinan sijil sebagai bukti mengesahkan penglibatan Kokurikulum?

Tidak  perlu.  Maklumat  Kokurikulum  akan  diselaraskan  dengan  Kementerian  Pelajaran Malaysia (KPM).

 

7. Adakah saya perlu menghantar salinan borang permohonan bersama dokumen sokongan ke UKM pilihan?

Tidak perlu. HANYA bagi calon Pendapatan Isi Rumah Terendah (B40) sahaja yang perlu hantar dokumen ke Akademik UKM.

 

8.  Saya pelajar lepasan Diploma di UA dan akan tamat pengajian pada bulan Jun 2018, dan telah  membuat   permohonan   online   UPU,   adakah   saya   boleh   ditawarkan   tempat pengajian di UKM?

Permohonan anda tidak akan dipertimbangkan kerana belum tamat pengajian pada tarikh tutup permohonan, walau bagaimanapun permohonan anda akan dipertimbangkan semasa kes rayuan pada bulan September nanti. Permohonan perlu dibuat terus ke Fakulti atau Akademik UKM .

 

9. Adakah saya dibenarkan membuat pertukaran/pindaan kod program pilihan pengajian selepas tarikh tutup permohonan kemasukan ke IPTA?

TIDAK DIBENARKAN, kecuali bagi pelajar Matrikulasi yang akan mengisi maklumat pilihan dalam FASA 2.

 

10. Adakah saya dibenarkan menukar program pengajian selain dari program yang ditawarkan oleh UKM sebelum saya mendaftar diri?

TIDAK DIBENARKAN. Permohonon pertukaran program hanya boleh dilakukan selepas calon mendaftar diri di UKM, dan tertakluk kepada kekosongan tempat.

 

11. Adakah pemohon dibenarkan menukar IPTA setelah menerima tawaran?

TIDAK DIBENARKAN, kecuali atas alasan kesihatan yang disokong oleh surat Doktor Pakar.

 

12. Apakah yang perlu saya buat jika ibu bapa tiada sijil kelahiran atau sijil kelahiran hilang?

Anda boleh mendapatkan cabutan sijil lahir yang hilang atau tercicir di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terdekat.

 

13. Apakah dasar MUET dalam permohonan kemasukan ke UKM dan tempoh sah laku keputusan MUET?

Pemohon wajib mendapatkan sekurang-kurangnya Tahap 3 (Band 3) dalam peperiksaan MUET bagi kelayakan Lepasan STPM/Setaraf yang memohon ke Program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf – Ijazah Pertama di UKM. Tempoh sah kalu ada 5 tahun.

 

14. Saya adalah pelajar Lepasan Foundation daripada Universiti Swasta, adakah saya layak memohon ke UKM.

Dasar UKM dan KPT membenarkan pelajar Lepasan Asasi/Foundation daripada Universiti Swasta untuk ditawarkan tempat ke UKM.  Permohonan dibuat terus ke UKM.  Begitu juga, calon Lepasan Diploma dari Universiti Swasta layak dipertimbangkan sekiranya memenuhi syarat khas program dan mendapat sijil akreditasi program daripada MQA.

 

15. Adakah saya boleh memohon ke UKM sekiranya saya mempunyai kelayakan A-Level / IB.

Ya, anda layak memohon kemasukan ke Program Ijazah Pertama UKM tertakluk kepada syarat kemasukan yang ditetapkan oleh UKM.

 

16. Saya mengambil peperiksaan  peringkat  O-Level  dan  tidak  mengambil  SPM  kerana mengikuti ibu bapa yang bertugas sebagai kedutaan di luar negara, saya juga telah lulus A-Level/IB,  adakah saya layak memohon kemasukan ke UKM.

Anda tidak layak memohon kemasukan ke UKM atau ke UA yang lain kerana dasar KPT menetapkan bahawa semua pemohonan masuk ke UA wajib lulus Peperiksaan SPM.  Oleh itu anda dinasihatkan mengambil peperiksaan SPM dan mendapat kepujian dalam matapelajaran Bahasa Malaysia dan lulus matapelajaran Sejarah.

 

17. Saya telah mendapat tawaran di UA yang lain tetapi bukan program pilihan saya, adakah boleh saya memohon terus ke UKM untuk merayu dipilih ke program pilihan saya?

Anda tidak boleh dipertimbangkan kemasukan ke UKM kerana dasar KPT menetapkan bahawa semua calon hanya akan dapat satu tawaran sahaja.

 

18. Saya merupakan pelajar Asasi/Tamhidi feeder di UA yang lain, dan saya tidak dibenarkan memohon kemasukan ke UKM melalui Sistem Aplikasi Atas Talian UPU, adakah boleh saya memohon terus ke UKM?

Tidak, semua calon feeder UA tidak dibenarkan ditawar oleh UA yang lain.

 

19. Apakah Syarat B40?

Kriteria pendapatan B40  ialah pendapatan keluarga dibawah RM3,000.  Selain daripada sumber pendapatan, kriteria B40 diukur  daripada  status  bandar/luar  bandar,  OKU,  yatim-piatu, tanggungan  keluarga, bantuan e-kasih/zakat/BRIM dan sebagainya. Bilangan tempat yang disediakan ialah 10% daripada unjuran keseluruhan UKM.

Bagi calon B40 tetapi juga memohon UPU, semua calon yang memohon akan mendapat satu tawaran sahaja, sekiranya anda ditawarkan oleh UA dalam sistem UPU maka permohonan B40 di UKM akan ditolak. Sekiranya  anda  tidak  mendapat  tawaran  di  UA  lain  dalam  sistem  UPU,  anda  akan ditawarkan ke UKM tertakluk kepada syarat masuk yang ditetapkan oleh UKM.

 

20. Saya mendapat keputusan PNGK 4.00, adakah saya akan dipanggil temuduga bagi program yang mensyaratkan keperluan bertemuduga sekiranya saya tidak membuat pilihan 1?

Semua calon yang mendapat keputusan PNGK 4.00 dan memilih UKM di Pilihan 1 hingga 4 akan dipanggil temuduga.

 

21. Saya adalah pelajar tajaan JPA/MARA untuk program ke luar negara, namun saya tidak berjaya mendapat tempat di luar negara kerana markah kecemerlangan A-Level/IB saya tidak mencapai   tahap   yang   ditetapkan   oleh   penaja,   saya   juga   telah   mengambil IELTS/TOEFL tetapi tiada MUET, adakah saya layak memohon ke UKM.

Semua  pelajar  tajaan  JPA/MARA  yang  tidak  mendapat  tempat  ke  luar  negara  boleh memohon kemasukan ke UKM melalui online UPU atau menulis surat ke Pusat Pengurusan Akademik,  UKM  Bangi. Oleh  kerana  tidak  mengambil  ujian  MUET,  sekiranya  calon ditawarkan nanti calon perlu menduduki ujian MUET sepanjang tempoh pengajian di UKM.

 

22. Saya berjaya terpilih masuk ke UKM melalui kes rayuan dan tidak sempat membayar yuran kemasukan dan melakukan rawatan kesihatan, apa yang perlu saya lakukan?

Anda boleh terus mendaftar pada tarikh yang dinyatakan di surat tawaran.  Bayaran yuran boleh dibuat di kaunter Bendahari dan buat temujanji rawatan kesihatan di Pusat Kesihatan UKM.

 

23. Saya adalah bekas pelajar Asasipintar UKM dan telah mendapat tawaran ke Program Ijazah Pertama UKM, saya telah berada di dalam kampus UKM selama hampir satu tahun, adakah saya boleh dikecualikan daripada mengikuti Program Minggu Mesra Pelajar?

Program Minggu Mesra  Pelajar  wajib  diikuti  oleh  semua  pelajar,  kecuali  atas  alasan kesihatan yang disokong oleh Doktor Pakar sahaja

 

24. Bagaimanakah saya boleh mendapatkan status keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi program Pengajian Lepasan STPM/Setaraf ATAU program pengajian Lepasan SPM/Setaraf?

Anda boleh menyemak status keputusan permohonan ke UKM melalui 3 kaedah berikut :

  1. Internet :
  1. SMS Taip UPU<space>RESULT<space>NO KP dan hantar ke 15888
  2. Telefon :
  • Helpline                                          : 03-887 6777
  • Talian Am                                       : 03-887 6763 / 6754
  • Operator KPT                                    03-8876 000

 

25. Di manakah saya boleh mendapatkan bantuan tajaan ke UKM?

Anda diminta merujuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di alamat berikut untuk maklumat lanjut:

PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL

Lot G2, Tingkat Bawah, Wisma Chase Perdana, Off Jalan Semantan, Damansara Heights,

50490 Kuala Lumpur.

Sebarang aduan/pertanyaan sila e-mel kepada: webmaster@ptptn.gov.my

Sila hubungi PTPTN HOTLINE – 03-2092 7788 untuk sebarang kemusykilan. Faks : 03- 2092 1925

 

26. Bagaimanakah caranya untuk saya mengetahui program pengajian yang dipilih adalah program pengajian yang ada temu duga?

Program pengajian yang ada temu duga boleh dikenal pasti dengan adanya tanda (#) di bahagian akhir nama program.  Semua Program di UKM adalah bertemuduga.

 

27. Bagaimanakah saya boleh mengetahui permohonan saya telah selamat diterima oleh sistem ?

Anda boleh mengetahui permohonan telah diterima oleh sistem dengan membuat semakan melalui [Menu Semakan] dan satu emel akan dihantar kepada calon.

 

28. Semasa permohonan Fasa 1 saya belum memiliki keputusan akhir Matrikulasi/ KPM/PASUM/ASASI, bagaimanakah cara membuat pilihan program pengajian bagi kemasukan ke IPTA?

Anda boleh membuat pilihan program pengajian semasa permohonan Fasa 1 berdasarkan keputusan Semester Pertama. Setelah keputusan semester akhir diketahui, anda boleh membuat pengemaskinian pilihan program pengajian semasa permohonan Fasa 2 dibuka. Perlu diingatkan program pengajian yang mempunyai ujian dan temu duga tidak boleh diubah semasa Fasa 2 sekiranya calon telah membuat pilihan program bertemu duga semasa Fasa 1. Namun begitu sekiranya anda tidak dipanggil temuduga bagi program pilihan 1, anda dibenarkan untuk menukarkan program temuduga tersebut ke program lain semasa Fasa 2.

 

29. Bagaimanakah saya mendapat surat tawaran dari UKM?

Anda boleh mendapat surat tawaran melalui laman web UKM. Semua calon yang berjaya ditawarkan akan dimaklumkan melalui smsblast. Anda juga WAJIB menyatakan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan.

 

30. Bagaimanakah saya mengemukakan rayuan sekiranya gagal mendapat sebarang tawaran ke IPTA?

Anda WAJIB mengemukakan permohonan rayuan melalui Aplikasi Dalam Talian (e-Rayuan). HANYA calon yang GAGAL mendapat sebarang tawaran ke IPTA sahaja dibenarkan mengemukakan permohonan e-Rayuan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

 

31. Bilakah keputusan rayuan diumumkan?

Keputusan rayuan permohonan kemasukan ke IPTA akan diumumkan selepas pendaftaran pelajar baru di UKM. Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat yang berlaku selepas pendaftaran pelajar baru di IPTA.

 

Jika terdapat sebarang pertanyaan lain, sila hubungi

Pusat Akademik UKM:  akad@ukm.my atau tel 03-8911 8463 / 8464 / 8465.

Sekretariat Prasiswazah, Fakulti Sains dan Teknologi: prasiswazahfst@ukm.edu.my atau tel 03 -8921 5421/ 5418