Selamat datang diucapkan kepada semua jiwa yang mengunjungi laman sesawang Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Walaupun FST baru sahaja ditubuhkan pada 19 Julai 1999, namun sejarah kewujudan pengajian sains di UKM telah bermula semenjak 51 tahun dahulu semasa UKM ditubuhkan. Ini bermakna garis masa dan juga penglibatan FST dalam pendidikan dan penyelidikan sains telah bermula 51 tahun dahulu semasa Fakulti Sains yang asal ditubuhkan pada tahun 1970.
Selaku dekan ke ketujuh saya suka memaklumkan Fakulti Sains dan Teknologi adalah antara fakulti yang terbesar di UKM yang menawarkan 21 program pengajian prasiswazah yang merangkumi lebih daripada 20 bidang pengkhususan sains tulen dan sains gunaan melalui pengurusan yang bertunjangkan kepada kepakaran ahli akademik FST. Pelajar prasiswazah bukan sahaja dapat mendalami bidang sains yang mereka ceburi tetapi berpeluang untuk mendapat ilmu dalam pelbagai bidang sains yang lain merentas pengajian sains kemasyarakatan di samping berpeluang menyemarakkan citra universiti melalui kursus-kursus yang meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam pengurusan, komunikasi dan komputer.
Pada keseluruhannya program prasiswazah FST menyajikan satu pakej yang membolehkan graduannya untuk berdaya saing dan berkemampuan untuk menempuh alam pekerjaan merentas bidang demi perubahan dan tuntutan terkini di alaf baru ini. Saya yakin pengalaman yang ditimba semasa pengajian oleh para pelajar di FST akan memberikan daya saing yang baik sama ada untuk meneruskan kelangsungan hidup di alam pekerjaan mahupun meneliti kajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Pelajar pasca-siswazah diberi peluang untuk mengikuti dan menjalankan berbagai penyelidikan yang diselia oleh para akademik FST yang mempunyai pengalaman dalam dan luar negara serta kecenderungan penyelidikan dalam bidang sains terkini. FST sentiasa mementingkan kemajuan dalam penyelidikan untuk menjana ilmu baru dan penemuan sains yang boleh digunakan untuk kemajuan dan pembangunan negara.
Para akademik FST amat aktif dalam penyelidikan dan telah memperoleh pengiktirafan dari badan-badan antarabangsa termasuk badan pemiawaian serta menerima anugerah penyelidik paling berpengaruh dalam bidang pengajian masing-masing. Ahli akademik juga menerima lebih daripada 15 juta dana dalam dan luar negara untuk memaju dan pembangunan ilmu sains, teknologi dan inovasi. Kemampuan FST dalam penyelidikan sains dan teknologi telah terbukti apabila ahli akademiknya telah memperoleh berbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Sains dan teknologi akan memainkan peranan yang penting dalam pembangunan dan kemajuan negara semasa situasi yang mencabar dan tidak menentu ini. Saya yakin FST akan menyahut cabaran ini dengan penuh keyakinan dan melunaskan dengan jayanya melalui kekuatan fakulti ini iaitu program pengajian dan penyelidikannya.