Jabatan Anatomi Fakulti Perubatan

Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Anatomi 2026

Jabatan Anatomi telah menganjurkan Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri pada 1 April 2026 dalam suasana yang meriah dan penuh harmoni. Penganjuran majlis ini bertujuan untuk meraikan sambutan Aidilfitri di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga jabatan.

Majlis ini telah dihadiri oleh para pensyarah, kakitangan serta pelajar pascasiswazah yang bersama-sama memeriahkan sambutan dalam suasana penuh muhibah. Pelbagai hidangan tradisional Hari Raya Aidilfitri seperti ketupat, lemang, rendang serta aneka kuih-muih telah disediakan untuk dinikmati oleh para tetamu.

Selain itu, majlis ini turut menjadi platform untuk memperkukuh semangat kerja berpasukan serta memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan warga Jabatan Anatomi. Suasana mesra dan santai jelas terpancar sepanjang berlangsungnya majlis ini.

Adalah diharapkan agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai medium untuk mengukuhkan ukhuwah serta keharmonian dalam kalangan warga jabatan.