Jabatan Anatomi Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Makmal Plastinasi

Pengenalan Plastinasi

Plastinasi merupakan satu kaedah pengawetan spesimen biologi yang berguna untuk kegunaan pembelajaran Anatomi. Ia adalah proses yang melibatkan penggantian air dan lemak dalam tisu biologi dengan bahan polimer yang dikenali sebagai silikon. Kaedah ini mula diperkenalkan oleh Dr. Gunther Von Hagen di Heidelberg, Jerman pada tahun 1978. Spesimen yang telah melalui proses plastinasi disebut sebagai spesimen plastinasi. Spesimen yang dihasilkan menjadi keras seperti plastik tetapi masih mengekalkan struktur asalnya.

Di antara kelebihan spesimen plastinasi:

  1. Spesimen tidak berbau.
  2. Spesimen tidak berbahaya (Hazard free).
  3. Struktur spesimen menjadi lebih kuat dan tahan lama.
  4. Struktur spesimen kekal seperti keadaan asal. (Life like state of human tissue)
  5. Lebih mudah untuk diselenggara.
  6. Jimat dari segi kos pengurusan dan tenaga kerja.

 Perbandingan penyediaan spesimen tradisional berbanding spesimen plastinasi:

  1. Spesimen basah perlu sentiasa direndam di dalam larutan formalin. Bau formalin boleh mendatangkan mudarat kepada kesihatan dan pelajar menjadi tidak selesa semasa sesi amali dijalankan.
  2. Bahan kimia yang digunakan dalam penyimpanan spesimen basah adalah merbahaya (Hazardous) dan karsinogenik kepada manusia.
  3. Spesimen menjadi lembut dan mudah rosak akibat terlalu lama direndam di dalam larutan formalin.
  4. Struktur asal spesimen mudah rosak dan mengakibatkan spesimen tidak dapat kekal seperti keadaan asal
  5. Penyelenggaraan berterusan di perlukan. Bahan fiksasi (Formalin) perlu ditukar secara berkala bagi mengelakkan pertumbuhan kulat yang boleh mengakibatkan spesimen menjadi rosak dengan cepat.
  6. Kurang ekonomik kerana memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi dan tenaga kerja yang ramai.

 

 

Jabatan Anatomi telah lama berkecimpung dengan teknik penyediaan plastinasi seawal tahun 2005. Jabatan juga telah menghantar beberapa kakitangan akademik dan sokongan untuk mempelajari teknik-teknik penyediaan secara langsung dari pengasas teknik ini di Heidelberg, Jerman dan juga di Dalian, China. Kini jabatan berbangga memiliki Makmal Plastinasi yang lengkap yang berupaya untuk menyempurnakan keseluruhan proses plastinasi dari mula sehingga akhir. Makmal ini terletak di tingkat 1 Bangunan Praklinikal PPUKM, merupakan antara yang terunggul di negara ini. Antara lain, tujuan penubuhan makmal ini adalah untuk mempelbagai, memulihara dan menambahkan lagi spesimen Anatomi bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran untuk mahasiswa Universiti Kebangsaaan Malaysia.

 

Di antara pelajar-pelajar yang menerima manfaat penggunaan spesimen ini adalah:

Pelajar Prasiswazah:

  1. Pelajar Ijazah Doktor Perubatan tahun 1 dan tahun 2
  2. Pelajar Ijazah Doktor Pergigian
  3. Pelajar Ijazah Sarjana Muda dari Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu
  4. Pelajar Program Sains Bioperubatan
  5. Pelajar Program Fisioterapi
  6. Pelajar Audiologi dan Sains Pertuturan
  7. Pelajar Diagnostik dan Pengimejan
  8. Pelajar Sains Forensik
  9. Pelajar Kejururawatan
  10. Pelajar Diploma Kejururawatan

 Pelajar Pascasiswazah:

  1. Pelajar Ijazah Sarjana Sains Perubatan (Anatomi)
  2. Pelajar Ijazah Doktor Falsafah Perubatan (Anatomi)
  3. Pelajar Ijazah Sarjana Surgeri dan Ortopedik
  4. Pelajar Ijazah Sarjana Program Ortodontik

Kami juga menerima kunjungan pelawat-pelawat dari institusi pendidikan awam dan swasta dari dalam dan luar negara yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai teknik pengawetan spesimen ini.

Selain dari tujuan pendidikan, kami juga menawarkan khidmat plastinasi kepada institusi-institusi pengajian awam dan swasta yang berminat. Sila rujuk ke bahagian Khidmat Plastinasi di bawah menu Perkhidmatan.

 

Antara hasil plastinasi badan manusia yang dihasilkan:

Untuk maklumat lanjut mengenai plastinasi, makmal plastinasi ataupun penyelidikan mengenai plastinasi, sila hubungi:

Pn. Siti Atiqah Zukeri

 03-9145 8417
 sitiatiqah90@ukm.edu.my