Jabatan Anatomi Fakulti Perubatan

 Universiti Kebangsaan Malaysia

Kata Aluan

“Jabatan Anatomi telah ditubuhkan sekitar tahun 1970an selaras dengan penubuhan Fakulti Perubatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia. Jabatan ini ditubuhkan adalah khusus untuk khidmat pengajaran bagi program pra-klinikal Doktor Perubatan dan turut mempunyai keterlibatan bersama untuk pengajaran bagi program Sarjanamuda Kejururawatan UKM.

Jabatan juga menawarkan program pengajian di peringkat Sarjana Sains Perubatan dan Doktor Falsafah (PhD) pengkhususan dalam bidang anatomi perubatan. Kami juga melakukan khidmat pengajaran bersama untuk program pengajian Sarjana Pembedahan, Otorinolaringologi (ENT) dan Ortopedik.

Selain daripada khidmat pengajaran, jabatan ini turut terlibat secara aktif di dalam aktiviti penyelidikan di bawah kepakarannya. Misi utama jabatan adalah untuk memberi pendidikan dan pengetahuan berkaitan anatomi badan manusia khasnya kepada golongan pra-siswazah, siswazah, pekerja profesional dan masyarakat melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, lawatan akademik, penawaran bengkel/kursus kemahiran pendek (intensif) serta perkhidmatan profesional seperti pengawetan cadaver (mayat), penyewaan cadaver untuk tujuan kursus/bengkel, perkhidmatan
penyelenggaraan dan pembuatan jar spesimen dan organ serta penghasilan slaid histologi.

Pendidikan merupakan jambatan untuk mencapai kecemerlangan, integriti dan akauntabiliti seseorang
individu. Manakala perubatan melibatkan interaksi dengan pesakit dan memahami keadaan persekitaran masyarakat.  Oleh itu kami komited untuk menerapkan ilmu pengetahuan dan kemahiran di kalangan para pelajar dengan perspektif yang sihat, merendah diri dan pembelajaran sepanjang
hayat bagi melahirkan graduan yang berkualiti dan berguna untuk memberikan perkhidmatan profesional kepada masyarakat.”

DR. FAIRUS AHMAD
Ketua Jabatan