Jabatan Anatomi Raih Dua Pengiktirafan di Anugerah Sanjungan Kencana 2026
16 Julai 2026 | Cheras : Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila menerima dua pengiktirafan dalam Majlis Anugerah Sanjungan Kencana 2026 yang berlangsung pada 16 Julai 2026 di International Youth Centre (IYC), Cheras.
Bagi kategori Anugerah Makmal Persekitaran Berkualiti, Jabatan Anatomi telah diumumkan sebagai penerima anugerah yang diwakili oleh Ketua Jabatan, Dr. Fairus Ahmad, bersama Puan Siti Norasikin Simon. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen jabatan dalam memastikan pengurusan makmal yang sistematik, berkualiti, selamat serta memenuhi piawaian yang ditetapkan bagi menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan perkhidmatan.
Selain itu, Puan Noor Zakiah Abdul Karim telah menerima Anugerah Inovasi Laman Sesawang Jabatan Anatomi sebagai penghargaan terhadap usaha membangunkan laman sesawang jabatan yang lebih moden, informatif dan mesra pengguna. Inisiatif ini telah memperkukuhkan penyampaian maklumat serta meningkatkan aksesibiliti kepada warga universiti dan masyarakat.
Pencapaian ini menjadi bukti komitmen berterusan warga Jabatan Anatomi dalam membudayakan kecemerlangan, inovasi dan penambahbaikan berterusan selaras dengan aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia. Semoga pengiktirafan yang diterima ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan pada masa hadapan.




