Program Khidmat Masyarakat : Eksplorasi Rangka Prasejarah dan Tulang Manusia
3 November | Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan UKM telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat bertemakan “Eksplorasi Rangka Prasejarah dan Tulang Manusia” sebagai inisiatif untuk memberikan pendedahan awal mengenai ilmu anatomi dan sains bioperubatan kepada para pelajar.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 92 orang pelajar bersama 10 orang pensyarah pengiring dari Kolej PERMATA @ PINTAR Negara. Sepanjang program, peserta telah mengikuti sesi taklimat berkaitan struktur rangka manusia serta peranannya dalam bidang pendidikan dan penyelidikan kesihatan.
Para peserta turut berpeluang menyertai lawatan pembelajaran ke Muzium Anatomi & Patologi serta Dewan Diseksi Jabatan Anatomi, di mana mereka diberikan penerangan mengenai koleksi spesimen anatomi, proses pengajaran, serta aplikasi ilmu anatomi dalam latihan perubatan.
Penganjuran program ini diharapkan dapat memperluaskan pemahaman peserta terhadap bidang anatomi, selain mengukuhkan hubungan kerjasama antara UKM dan institusi pendidikan luar dalam usaha memperkasa pendidikan STEM dan sains bioperubatan.





