FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Faculty of Islamic Studies

كلية الدراسات الإسلامية

Senarai Kursus Prasiswazah
Pusat Kajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam

Kursus ini bertujuan untuk membimbing para pelajar mendalami beberapa tajuk Nahu (Tatabahasa) dan Saraf (Morfologi) berdasarkan satu daripada karya nahu dan saraf moden di samping melatih mereka untuk mengi‘rab (analisis ketatabahasaan) teks-teks terpilih. Antara tajuk Nahu yang disentuh ialah pembahagian kata kepada mu‘rab dan mabni, jenis-jenis kata nama mabni, ayat namaan, al-mubtada’ dan al-khabar serta hukum yang berkaitan dengannya dan berkenaan dengan ayat kerjaan. Manakala tajuk Saraf pula meliputi kepentingan ilmu saraf dalam bahasa Arab dan pembahagian kata kerja kepada muta‘addi, lazim, mujarrad dan mazid.

 

Kursus ini menjelaskan skop perbahasan berkaitan sejarah perkembangan perkamusan Arab serta kepentingannya. Perbincangan kursus ini meliputi faktor kelahiran perkamusan Arab, tokoh-tokoh awal perkamusan Arab, metode penyusunan dan kaedah pencarian makna perkataan serta kelebihan dan kelemahan setiap perkamusan mengikut madrasah atau kaedah penyusunan. Turut diberi perhatian ialah aplikasi perkamusan Arab klasik, moden dan kontemporari yang tepat.

Mukhayyam Arabi Komunikasi dirangka untuk membina penampilan antarabangsa pelajar melalui peningkatan kemahiran pelajar bertutur dalam bahasa Arab bagi keperluan harian dan akademik. Pelajar juga akan mengenali adat resam Arab dalam komunikasi lisan dan bukan lisan. Pelajar juga berpeluang menghayati dan melakonkan cerita popular dari budaya Arab yang mudah seperti jenaka Juha, Kalilah wa Dimnah dan lain-lain. Pelajar diwajibkan bertutur dalam bahasa Arab sepanjang kem.

Kursus ini bertujuan untuk mengkaji proses pergerakan sejarah dan pencapaian tamadun pada zaman Rasulullah dan Khulafa’ al-Rashidin. Tumpuan adalah kepada era sirah Rasulullah bermula dari kenabian Baginda sehingga wafat merentasi tempoh kehidupan di Mekah dan juga era pemerintahan kerajaan Islam di Madinah. Kesinambungan dan penerusan urusan kenabian Baginda oleh Khulafa al-Rashidin iaitu Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali akan turut dikaji dalam aspek yang lebih mendalam terutama dalam konteks penentuan jawatan khalifah melalui syura dan baiah, pembentukan polisi pemerintahan, pelaksanaan syariah, perluasan wilayah, fitnah pembunuhan Uthman, perang saudara Jamal dan Siffin serta kedudukan geografi wilayah-wilayah yang semakin meluas. Pencapaian tamadun pada kedua-dua era pemerintahan turut dilihat dalam skop sumbangannya kepada dunia Islam dan kemanusiaan seperti pembinaan Masjid, penggubalan Sahifah Madinah, penyusunan angkatan tentera yang sistematik dan pembentukan institusi baitulmal.

Mukhayyam Arabi Silang Budaya dirangka untuk membina penampilan antarabangsa pelajar melalui peningkatan kemahiran silang budaya Arab-Malaysia. Pelajar juga berpeluang menghayati dan melakonkan cerita popular dari budaya Arab seperti Alf Laylah wa Laylah dan al-Bukhala’. Dalam perkhemahan ini pelajar juga dilatih berbicara tentang topik-topik berkaitan bidang pengajian Arab dan Tamadun Islam, di samping dilatih mengendalikan majlis rasmi dan bukan rasmi dalam bahasa Arab. Pelajar diwajibkan bertutur dalam bahasa Arab sepanjang kem.

Kursus ini membincangkan aspek sejarah Kesusasteraan Arab dengan meninjau pertumbuhan dan perkembangannya bermula zaman pra-Islam sehingga zaman Andalusi. Kursus ini juga menyelami perkembangan masyarakat, politik dan kelimuan selain dari melihat bentuk gaya bahasa, idea dan tema utama puisi dan prosa pada zaman berkenaan. Meninjau elemen dan aliran pembaharuan dalam kesusasteraan Arab, tokoh puisi dan penulis tersohor mengikut urutan sejarah.

Kursus ini memperkenalkan konsep dan prinsip asas dalam linguistik Arab. Pelajar mempelajari tabiat bahasa, sistem bunyi (fonetik dan fonologi), kaedah pembentukan perkataan (morfologi), struktur bahasa (sintaksis), sistem makna (semantik), serta beberapa sub bidang linguistik terapan seperti hubungan bahasa dengan masyarakat (sosiolinguistik) dan penguasaan bahasa (psikolinguistik). Kursus ini turut menyentuh sumbangan sarjana seperti Ibn Sina, Sibawayh, Ibn Jinni, de Saussure, Chomsky dan lain-lain dalam kajian bahasa. Pelajar juga menilai kepentingan linguistik dalam pembinaaan identiti, negara bangsa dan industri.

Kursus ini mengkaji faktor yang membawa ke arah kelahiran ilmu tatabahasa Arab, di samping mengetengahkan sumber-sumber kajian ilmu tatabahasa Arab iaitu al-Qur’an, al-Qira’at, al-Hadith dan puisi Arab silam. Kursus ini juga membincangkan fenomena kepelbagaian aliran tatabahasa Arab iaitu aliran Basri, Kufi, Baghdadi, Andalusi dan Misri, di samping mengenali tokoh-tokoh serta karya-karya mereka. Ia juga menganalisis kepelbagaian pendapat oleh pelbagai aliran tatabahasa dalam beberapa isu tatabahasa.

Kursus ini membincangkan pertumbuhan dan perkembangan sastera (prosa dan puisi) pada era Jahiliyyah serta menjelaskan keistimewaan-keistimewaan yang terdapat dalam sastera era itu dari segi bentuk, tema dan motifnya. Di samping itu, mengenali tokoh- tokoh puisi dan prosa era tersebut serta analisis karya mereka dalam pelbagai aliran akan diperkenalkan.

Kursus ini bertujuan memperkenalkan istilah-istilah dan pendekatan istilah tersebut dalam mengkaji dan menganalisis puisi Arab dan dibahagi kepada tiga bahagian. Dalam bahagian pertama, pelajar didedahkan dengan bentuk puisi Arab lama dan baru. Bahagian kedua pula mendedahkan pelajar dengan konsep al-tadmin, al-tarkhim, al- isti‘anah, al-tasri‘, al-iltifat, al-mubhamat, al-tikrar, al-sard, al-rafw dan ikhtilaf al- qira’ah dan mengkaji irama serta menganalisis puisi Arab. Sementara bahagian ketiga, pelajar akan diajar cara-cara untuk mengklasifikasikan tema-tema puisi Arab seperti ghazal, nasib, madh, dan zuhd.

Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan sejarah dan tamadun umat Islam di rantau Asia Tenggara, bermula dengan penyebaran Islam ke wilayah tersebut hingga akhir abad ke20M. Perbincangan kemudiannya menyentuh tentang sejarah kedatangan Islam ke Asia Tenggara, yang bukan sahaja berjaya menukar akidah dan kepercayaan sebahagian besar penduduknya, malah turut mempengaruhi masyarakat Asia Tenggara dalam aspek pembinaan tamadun dan pembangunan modal insan, sama ada dari aspek politik, ekonomi, sosial mahupun agama. Sudut lain yang turut dikupas ialah unsur- unsur animisme dan kepercayaan lama di kalangan masyarakat Asia Tenggara, serta pengaruh penjajah Barat dalam mempengaruhi kehidupan masyarakat Islam di Asia Tenggara dalam membina tamadun mereka. Sementara itu, kemunculan beberapa kerajaan Islam di rantau ini turut dianalisis.

Kursus ini bertujuan untuk menilai proses perkembangan sejarah dan pembangunan tamadun masyarakat Islam pada zaman pemerintahan kerajaan Umawi dan Abbasi. Antaranya yang diberi tumpuan adalah faktor kecemerlangan dan kemerosotan, Revolusi Abbasiyyah, pembangunan peradaban, kemunculan pengaruh golongan bukan Arab iaitu Turki, Buwayh dan Saljuq, situasi dunia Islam seperti kemunculan kerajaan- kerajaan duwaylat dan pencapaian tamadun dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.

Kursus ini bertujuan untuk mengkaji dan menganalisis sejarah dan tamadun Islam di Malaysia, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu (Malaysia). Perbincangan meliputi sejarah kemasukan Islam, terutama perkembangannya sehingga masa kini, kesan Islam ke atas masyarakat Melayu dalam aspek-aspek pemikiran, sosial, ekonomi, politik dan pendidikan. Kursus turut menumpukan perbahasan kepada penjajahan dan kesannya terhadap Islam serta peranan Islam dalam perjuangan kemerdekaan. Keadaan Islam dan pengaruhnya selepas merdeka juga akan turut dibincangkan.

Kursus ini membincangkan tentang sejarah perkembangan bangsa Arab sebelum kemunculan Islam. Tumpuan adalah untuk melihat proses evolusi pembentukan idea, budaya, persekitaran geo-politik dan asas tamadun bangsa Arab sebelum bermulanya Islam. Perbincangan akan menelusuri kisah-kisah para anbiya’ daripada kalangan bangsa Arab dalam al-Qur’an, geneologi Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail sehingga kepada salasilah keturunan Nabi Muhammad. Seterusnya perbincangan melihat aspek perkembangan kerajaan-kerajaan Arab kuno, pencapaian tamadun dan amalan keagamaan bangsa Arab. Kursus ini juga melihat pengaruh pemikiran kekabilahan dan asabiyyah, diskriminasi kepada wanita dan kesannya kepada pembentukan geografi rantau timur tengah dan Asia barat yang didominasi oleh bangsa Arab sehingga dinamakan sebagai dunia Arab.

Kursus ini membincangkan secara menyeluruh perkembangan sejarah dan tamadun Islam di wilayah Andalus, Afrika Utara, Kepulauan Balearic dan Sicily. Kursus difokuskan pada perkembangan sejarah dan peradaban masyarakat Islam Andalus yang bermula dari era al-Wulat hingga era Kerajaan Nasriyyah di Granada. Kursus ini turut mengkaji secara umum perkembangan sejarah dan tamadun Islam di Afrika Utara dan Sicily, di samping perbincangan pencapaian aspek tamadun Islam di Laut Mediterranean, dari sudut intelektual, seni bina, agama, kemasyarakatan, pentadbiran, ketenteraan, ekonomi serta peralihan tamadun Islam ke dunia Barat.

Kursus ini membincangkan perhubungan dan pertembungan antara dua kuasa besar dunia pada abad pertengahan, iaitu Islam dan Kristian. Medan pertembungan antara dua kuasa ini berlaku di Asia Barat, Mesir dan Andalus. Peristiwa yang berlaku pada akhir abad ke-5H/11M sehingga akhir abad ke-7H/13M berkisar tentang persoalan perebutan terhadap tiga kota suci agama Islam, Kristian dan Yahudi iaitu Bayt al-Maqdis. Keadaan sosial, politik, tentera dan ekonomi dari kedua pihak yang terbabit akan diberi penekanan. Turut dibincang ialah perkembangan pendidikan Islam dan ulama yang muncul pada masa ini. Siri peperangan dalam Perang Salib tidak hanya terhenti sehingga siri terakhir Perang Salib, tetapi disebutkan terus berlangsung dan berterusan hingga ke hari ini. Kursus ini diakhiri dengan membicarakan mengenai kesan yang dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat.

Mukhayyam Arabi Kerjaya dirangka untuk menonjolkan kemahiran pelajar untuk melibatkan diri dalam kerjaya yang memerlukan bahasa Arab seperti sektor kerajaan, pendidikan, pelancongan dan korporat. Pelajar dilatih menampilkan keperibadian dan kemahiran komunikasi serta kepimpinan mereka melalui cv dan temuduga bahasa Arab. Pelajar akan menimba pengalaman berbicara dan berhujah tentang isu semasa dan global dalam bahasa Arab. Pelajar juga berpeluang menghayati dan melakonkan cerita popular dari budaya Arab seperti karya-karya Najib Mahfuz, al-Manfaluti dan Taha Husayn. Pelajar diwajibkan bertutur dalam bahasa Arab sepanjang kem.

Mukhayyam Arabi Kerjaya dirangka bagi mempersiagakan graduan untuk pembangunan kerjaya dalam bahasa Arab. Pelajar dilatih bagi menampilkan keperibadian, kepimpinan dan kemahiran komunikasi melalui penyediaan cv, video resume, jaringan digital dan temuduga bersama industri dalam bahasa Arab. Pelajar juga dilatih mengendalikan majlis rasmi dan tidak rasmi dalam bahasa Arab. Pelajar dibimbing mengintegrasi kecekapan bahasa dengan ciri-ciri keusahawanan seperti penyelesaian masalah, inovasi dan kreativiti bagi mengendalikan situasi biasa dan tidak biasa dalam profesion pendidikan, pelancongan, diplomasi, terjemahan, kesihatan, kewartawanan, IT serta lain-lain industri dalam sektor kerajaan dan korporat. Pelajar diwajibkan bertutur dalam bahasa Arab sepanjang kem.

Kursus ini mendedahkan pelajar kepada pelbagai aspek terjemahan, merangkumi teori terjemahan, prinsip dan teknik terjemahan, masalah-masalah terjemahan seperti mencari padanan, masalah linguistik, semantik, sintaksis, dan masalah budaya. Kursus ini juga mendedahkan pelajar kepada cara menggunakan kamus, di samping melatih mereka menterjemahkan teks Arab (klasik dan moden) ke bahasa Melayu dan teks Melayu ke bahasa Arab.

Kursus ini membahaskan kegiatan sastera Arab era awal kedatangan Islam, secara tepatnya era Madinah hingga era kerajaan Umawi, yang tertumpu pada genre sastera tradisional. Antaranya ialah syair, khutbah (pidato), dan risalah (surat menyurut), kesemuanya berasaskan keindahan atau balaghah Arab, sebagai asas sastera. Pada asasnya, sebarang pengungkapan atau tulisan kreatif, tidak semestinya imaginatif selain wahyu dianggap mempunyai nilai sastera. Orientasi penting ialah jati diri Islam dilihat melalui melalui sastera.

Kursus ini adalah lanjutan daripada kursus PPAT1003 Ilmu Nahu dan Saraf. Kursus ini bertujuan untuk melengkapkan pengetahuan pelajar dengan tajuk-tajuk ilmu Saraf yang dapat membantu mereka menguasai kemahiran berbahasa Arab. Di samping pendedahan kepada aspek teori, para pelajar akan dilatih menganalisis teks-teks Arab kontemporari dan klasik terpilih untuk mengaplikasi pengetahuan ilmu Saraf tersebut. Tajuk-tajuk Saraf meliputi pembahagian kata nama kepada jamid, mushtaqq, mudhakkar, mu’annath, sahih, shabih bi al-sahih, manqus, maqsur, mamdud, mufrad, muthanna, jama‘ dan kata nama dasar. Ia juga menyentuh perihal kata kerja dari sudut tamm, naqis, jamid, mutasarrif, mabni li al-ma‘lum, mabni li al-majhul, al-waqf , al-imalah, al-i‘lal dan al-ibdal.

Kursus ini bertujuan mendedahkan kepada pelajar keindahan bahasa atau I`jaz al- Qur’an dan al-Hadith mengikut perspektif Balaghah, dengan memberi penumpuan kepada perkara-perkara yang bersangkutan dengan unsur-unsur Balaghah. Ia juga membahaskan sejarah penulisan I`jaz al-Qur’an oleh sarjana silam dan kontemporari serta meninjau inti pati karya mereka. Kursus ini juga mendedahkan keunggulan Balaghah Rasulullah (s.a.w) yang termuat dalam hadith Baginda SAW. Perbincangan berasaskan kepada pembahagian Balaghah yang terdiri daripada tiga unsur penting iaitu al-ma‘ani, al-bayan dan al-badi‘ dengan menyerlahkanl kemukjizatan kalam Allah S.W.T dan Rasulullah SAW berasaskan ketiga-tiga komponen ilmu tersebut.

Kursus ini membimbing pelajar supaya mampu mengulas isu keagamaan, kemanusiaan dan kemasyarakatan secara bertulis. Pelajar dilatih mengungkapkan pemikiran mereka dengan menggunakan kata penghubung, kosakata dan frasa stilistik bahasa Arab serta strategi penulisan. Pelajar juga dilatih menghargai dan memanfaatkan rencana model dari penulis Arab tersohor. Pendekatan ‘process writing’ digunakan bagi meningkatkan kemahiran menulis pelajar.

Kursus ini bertujuan mendedahkan perkembangan puisi dan prosa yang berlaku pada era Abbasi bermula dari pembentukan kerajaan Abbasiyyah pada tahun 132 Hijrah sehingga jatuhnya Baghdad ke tangan Tartar pada tahun 656 Hijrah. Perbincangan akan meliputi kemunculan kerajaan Abbasiyyah, perpecahan pemerintahan Abbasiyyah kepada negara-negara kecil, percampuran orang Arab dengan bangsa asing serta kesannya terhadap perkembangan sastera. Kemudian perkembangan puisi dan prosa serta sebab- sebabnya, keistimewaan puisi dan prosa dan tokoh-tokoh yang muncul pada era ini.

Kursus ini membincangkan persoalan Balaghah dan kritikan dalam ketiga-tiga komponen al-Ma`ani, al-Bayan dan al-Badi`. Elemen al-Ma`ani akan menganalisis pemilihan perkataan, stilistik dan retorik sebagai asas perbincangan dan elemennya yang lain seperti al-Insha` wa al-khabar, al-qasr, al-fasl wa al-wasl, al-`Ijaz. Komponen al-bayan akan menyentuh tashbih, isti`arah, majaz, al-kinayah manakala al-Badi` akan membincangkan unsur-unsur estetika imaginisme karya kreatif. Peranan al-Balaghah sebagai asas kriteria kritikan sastera.Teori dan kritikan sampel-sampel secara terperinci dalam menzahirkan nilai estetika karya kreatif dan mengkaji faktor kemukjizatan al- Qur`an.

Kursus ini bertujuan untuk memberi gambaran mengenai latar belakang Andalus, kedudukan geografi dan pemerintahan sebelum dan selepas Islam. Kursus ini turut membincangkan sejarah ringkas pembukaan Andalus, tahap-tahap pemerintahan Islam dan keadaan sosio-budaya selepas Islam, di samping melihat keadaan bahasa dan kesusasteraan Arab di Andalus. Kursus ini turut menganalisis perkembangan puisi dan prosa di Andalus, bentuk, tema dan keistimewaannya. Turut dikemukakan ialah latar belakang ringkas mengenai tokoh penyair dan penulis yang terkenal di Andalus.

Kursus ini bertujuan mendedahkan perkembangan puisi dan prosa pada era Ayyubi (1174M- 1342M) dan Mamluki (1250M-1517M). Perbincangan meliputi topik-topik seperti kemunculan Kerajaan Ayyubi dan Mamluki, perkembangannya dan kesannya terhadap perkembangan puisi dan prosa. Tema dan ciri keistimewaan puisi dan prosa serta tokoh-tokoh yang terbabit dalam kedua-dua bidang turut diberi perhatian dalam kursus ini.

Kursus ini adalah lanjutan daripada kursus PPAT4213 Ilmu Nahu dan Saraf. Kursus ini bertujuan untuk melengkapkan pengetahuan pelajar dengan tajuk-tajuk ilmu Nahu yang dapat membantu mereka menguasai kemahiran berbahasa Arab. Di samping pendedahan kepada aspek teori, para pelajar akan dilatih menganalisis teks-teks Arab kontemporari dan klasik terpilih untuk mengaplikasi pengetahuan Nahu tersebut. Tajuk- tajuk Nahu meliputi 5 rangkaian al-maf‘ul dan tajuk yang berkaitan dengannya, al-hal, al-tamyiz, al-istithna’, majrurat al-asma’, al-tawabi‘, al-‘adad wa al-ma‘dud dan ciri al-mutabaqah dalam bahasa Arab.

Kursus ini membahaskan tentang kemunculan dan pengembangan penulisan manuskrip Islam di negara Arab dan di Alam Melayu. Diikuti kajian awal sebelum proses pentahkikan dilakukan iaitu menjalankan pembahasan tentang naskhah manuskrip dari pelbagai sudut, seperti jenis kertas, bentuk naskhah, dan jenis tulisan naskhah, serta pengarang manuskrip dan gambaran eranya. Kursus ini juga memperkenalkan asas- asas tahkik, objektif tahkik dan proses tahkik, serta kesukaran yang dihadapi ketika melakukan tahkik.

Kursus ini membincangkan definisi krtikan sastera, sejarah pertumbuhan dan perkembangan dalam kesusasteraan Arab dari era Jahili sehingga ke era Abbasi serta sarjana kritikan klasik. Kursus ini juga meneliti bentuk kritikan dalam sastera Arab klasik, isu dan persoalan kritikan, tokoh pengkritik dan karya utama mereka. Kursus ini juga mengkaji faktor kemunculan kritikan sastera Arab moden, aliran utama dalam kritikan sastera Arab yang terdapat dalam prosa dan puisi moden di samping mengkaji ciri-ciri puisi, novel, cerpen dan drama. Kriteria estetika karya sastera dalam aspek bentuk dan isi juga dikaji secara komprehensif.

Kursus ini membincangkan tentang sejarah penulisan sejarah Islam oleh para sejarawan bermula dari zaman masyarakat Arab sebelum Islam, pengasasan Islam di Hijaz, perkembangan Islam pada abad pertengahan dan moden. Tumpuan kursus ini adalah untuk mengenali para sejarawan, karya-karya mereka, metode penulisan sejarah, aliran penulisan sejarah Madinah, Iraq, Orientalis dan Melayu. Untuk tujuan tersebut, kursus ini menganalisis pendekatan dua kelompok utama sejarawan dalam penulis dan menghasilkan historiografi iaitu sejarawan Islam dan orientalis serta melihat pengaruh Arab-Islam dalam penulisan sejarah Melayu. Kursus ini juga memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik penulisan sejarah Islam dari aspek pemilihan masadir dan maraji’ serta metode kritikan dalaman dan luaran.

Kursus ini membincangkan tentang kemunculan Kerajaan-kerajaan Kecil atau Duway- lat al-Islamiyyah dan hal ehwal semasa yang berlaku dalam kerajaan-kerajaan tersebut. Tumpuan ialah memahami faktor-faktor kemunculannya, sejarah perkembangan dan ke- jatuhannya serta kesan terhadap geo-politik dan sosio-ekonomi dunia Islam pada ketika itu. Turut disentuh ialah konsep Duwaylat Islamiyyah dan hubungannya dengan sistem institusi Khilafah di dunia Islam. Umumnya, kursus ini menyoroti perkembangan Du- waylat sejak zaman ‘Abbasiyah kedua dengan penekanan untuk memahami konteks yang peristiwa-peristiwa berlaku dalam kepelbagaian kerajaan-kerajaan kecil tersebut serta situasi yang dihadapi oleh masyarakat dunia Islam ketika itu.

Kursus ini bermatlamat untuk membincangkan dua buah kerajaan Islam yang unggul pada zaman pertengahan, iaitu kerajaan Ayyubi yang meninggalkan jasa besar dalam Perang Salib; dan kerajaan Mamluk yang berperanan menyekat kemaraan tentera Mongol dan berjaya melebarkan pengaruhnya di kawasan Asia Barat, Asia Kecil dan Perairan Mediterranean. Kursus ini turut meninjau aspek politik, ekonomi dan sosial yang dilalui oleh kedua-dua buah kerajaan seperti para sultan yang memerintah, hubungan antarabangsa, sumber perekonomian negara dan keadaan masyarakat Mesir dan Syria ketika itu. Manakala dari sudut tamadun pula, kursus ini akan membicarakan tentang pencapaian yang telah dikecapi oleh kedua-dua buah kerajaan dalam pelbagai bidang seperti ketenteraan, ekonomi, ilmu pengetahuan dan seni bina.

Kursus ini membincangkan perihal sejarah awal India dan perkembangan tamadun tersebut sejak awal kedatangan Islam sehingga zaman moden. Fokus utama kursus ini ialah mengenai sejarah kemasukan Islam, duwaylat Islamiyyah, pembentukan kerajaan Mughal di India, kebangkitan India menentang Inggeris, gerakan kemerdekaan India, hubungan sejarah dan tamadun India dengan dunia Islam yang lain. Aspek kepelbagaian pencapaian tamadun Islam di India turut diberi tumpuan dalam kursus ini mencakupi sudut politik, ekonomi dan sosial.

Kursus ini meneliti konsep dan falsafah kesenian dan seni bina Islam serta perkembangannya mengikut tempoh masa tertentu. Perbincangan selanjutnya akan memberi tumpuan pada perkembangan sejarah seni Islam itu sendiri bermula pada zaman permulaan Islam (Rasulullah [s.a.w.] dan era Khulafa’ al-Rashidin), era pemerintahan kerajaan Umawi, Abbasi, Andalusi, Fatimi, Ayyubi, Mamluki, India dan juga era Uthmani serta aspek-aspek kesenian dan seni bina Islam di kerajaan-kerajaan kecil lain yang agak menyerlah. Perbincangan turut memberi fokus pada aspek cabang kesenian dan seni bina Islam yang merangkumi seni bina dan dekorasi serta kesenian lain seperti arabes, seni lukis, seni seramik, seni karpet, seni khat, seni ukir, seni gading, seni persenjataan, seni mata wang, metal work dan seni suara (muzik).

Kursus ini membincangkan sejarah gerakan islah yang berlaku di dunia Islam sejak dari zaman awal kemunculan hingga masa kini. Perbincangan memberi tumpuan terhadap definisi dan konsep islah, di samping beberapa istilah lain berkaitan. Kursus ini turut menumpukan kepada tokoh penting gerakan islah di samping bentuk gerakan islah mereka seperti Khalifah Umar b. Abd al-Aziz, imam mazhab yang empat, Imam al- Ghazali dan Ibn Taymiyyah. Tokoh-tokoh zaman pertengahan pula terdiri daripada Shaykh Muhammad b. Abd al-Wahhab dan Shaykh Wali Allah al-Dihlawi. Antara tokoh islah pada abad moden pula ialah Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Abduh, al-Mahdi, al-Sanusi, Hasan al-Banna dan al-Mawdudi. Kursus ini turut menumpukan perbahasan terhadap gerakan islah di Asia Tenggara pada zaman moden.

Kursus ini membincangkan mengenai persoalan ulama nusantara dari pelbagai aspek. Mereka memain peranan penting dalam perkembangan Islam di kalangan masyarakat nusantara. Perbincangan berkaitan dengan personaliti ulama, ketokohan dan sumbangan mereka ini dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, di samping kegiatan menghasilkan kitab dalam memartabatkan ilmu dan agama Islam di kalangan masyarakat. Tokoh- tokoh terkemuka dari kepulauan Nusantara seperti Shaykh Hamzah al-Fansuri, Shaykh Nuruddin al-Raniri, Shaykh Abd al-Rauf al-Fansuri, Shaykh Arshad al-Banjari, Shaykh Dawud Abdullah al-Fatani, Shaykh Nawawi al-Bantani, Wali Songo. Di Tanah Melayu ulama seperti Tok Pulau Manis dan Tok Kenali akan dikaji. Selain daripada menganalisis keperibadian mereka yang unggul, karya-karya penulisan yang bermutu serta jasa mereka dalam beberapa institusi pendidikan terkenal di Nusantara akan dikaji.

Kursus ini bertujuan untuk mengkaji beberapa persoalan mengenai masyarakat Islam minoriti dalam Islam. Perbincangan seterusnya dihubungkan dengan beberapa aspek mengenai masyarakat Islam minoriti di Eropah, Asia, Afrika, Amerika dan Oceania; sejarah kedatangan Islam ke wilayah-wilayah tersebut; sejarah pertumbuhan dan perkembangan masyarakat Islam minoriti; isu masyarakat Islam minoriti dalam aspek agama, sosial dan politik; sejarah perjuangan masyarakat Islam minoriti ke arah autonomi dan kemerdekaan; serta persoalan semasa masyarakat Islam minoriti. Kursus ini cuba memberi penjelasan mengenai kejayaan dan kegagalan masyarakat Islam minoriti dengan menghubungkan pelaksanaan prinsip-prinsip Islam dalam kehidupan mereka. Kursus ini turut memberikan penekanan terhadap masyarakat Islam minoriti di Asia Tenggara seperti di Indocina, Singapura, Thailand dan Filipina dalam usaha untuk memahami dan menghuraikan kemelut yang melanda mereka serta mencari penyelasaian kepada masalah yang mereka hadapi.

Kursus ini memaparkan perkembangan sejarah dan tamadun Islam pada pemerintahan era Uthmani meliputi era klasik dan moden. Tumpuan diberikan kepada topik-topik seperti pemerintahan imarah Turkoman di Anatolia, pembukaan Konstantinople (Istanbul 1453M) dan hubungan dunia Islam dengan kuasa Kristian di Eropah. Kajian juga merangkumi era kemunculan dan pertumbuhan (Osman bin Ertughrul sebagai pengasas Kerajaan Uthmaniyyah), era kegemilangan dan kecemerlangan (pemerintahan Sultan Selim I dan Sultan Sulayman al-Qanuni); serta era kejatuhan dan kemunduran iaitu penerimaan Kerajaan Uthmaniyyah untuk bekerjasama dengan kuasa Barat dan kemunculan golongan pro-pembaratan seperti Young Ottoman dan Young Turk. Di samping itu juga, kursus ini turut memaparkan pencapaian tamadun, khususnya dari aspek intelektual, seni bina, agama, pentadbiran, ketenteraan, hubungan integrasi kaum, serta ekonomi.

Kursus ini memberi gambaran awal tentang disiplin manuskrip dan arkib secara umum. Perbincangan akan menjurus kepada teori dan kaedah asas dalam kedua-dua disiplin ini, meliputi sejarah perkembangan, aliran, kaedah penyelidikan, permasalahan utama, pengenalan kepada sub-sub disiplin manuskrip dan arkib serta konsepnya sebagai penyelidikan multi-disiplin. Teknik dan penggunaan dokumen akan turut didedahkan berdasarkan bahan-bahan yang diperoleh dari sumber-sumber manuskrip dan arkib seperti Arkib Negara Malaysia dan Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur, Public Record Office dan The British Library di London, Dar al-Kutub al-Misriyyah, Ma‘had al-Makhtutat dan Dar al-Mahfuzat al-Misriyyah di Kaherah serta Pusat Manuskrip Turki di Istanbul. Kursus ini juga memaparkan teknik menganalisa, membaca, memahami dan mengeluarkan fakta daripada teks dan manuskrip pilihan.

Kursus ini bertujuan meneliti pertumbuhan dan perkembangan sains dan teknologi dalam sejarah dan tamadun Islam. Perbincangan selanjutnya meliputi sorotan mengenai pandangan Islam terhadap aspek sains dan teknologi berasaskan al-Qur’an, al-Sunnah dan pendapat para intelektual Muslim sezaman, faktor-faktor yang membawa kepada perkembangan sains dan teknologi dalam sejarah Islam, sumbangan peradaban Islam terhadap sains dan teknologi, faktor-faktor kemerosotan sains dan teknologi dalam kalangan orang Islam, serta masa depan sains dan teknologi di dunia Islam. Beberapa buah karya sains dan teknologi dalam tamadun Islam turut disoroti.

Kursus ini memberi pendedahan beberapa teks yang bersangkutan dengan bahasa dan sastera Arab, di samping teks berkaitan sejarah dan tamadun Islam, sama ada teks klasik, moden mahupun kontemporari. Kursus turut memberi penekanan kepada aspek pembacaan dan kefahaman serta penganalisaan, di samping memperkenalkan biodata penulis teks secara ringkas.

Kursus ini memberi pendedahan beberapa teks yang bersangkutan dengan bahasa dan sastera Arab, di samping teks berkaitan sejarah dan tamadun Islam, sama ada teks klasik, moden mahupun kontemporari. Kursus turut memberi penekanan kepada aspek pembacaan dan kefahaman serta penganalisaan, di samping memperkenalkan biodata penulis teks secara ringkas.

Kursus ini berbentuk penyelidikan dan penulisan dalam bidang Pengajian Arab dan Tamadun Islam. Aspek-aspek yang dinilai adalah abstrak, pengenalan, kajian lepas, metodologi, data, dan analisis perbincangan dan kesimpulan serta gaya penulisan dan format. Latihan Ilmiah ini mestilah diselesaikan tidak kurang dari dua semester dengan mengambil kira aspek-aspek sebuah penulisan ilmiah mengikut GAYA UKM. Jumlah perkataan penulisan ini tidak kurang daripada 20,000 patah perkataan.

Kursus ini membahaskan kajian perbandingan antara sastera-sastera Dunia Islam, khususnya Arab, Parsi dan Melayu, mencakupi genre klasik seperti hikayat dan syair dan genre moden seperti cerpen, novelet, novel dan puisi, dalam tulisan Arab, Inggeris dan Melayu. Pendekatan perbandingan berasaskan lunas-lunas kesamaan agama di samping memelihara perbezaan kebudayaan. Fokus kuliah diberikan pada genre klasik manakala dalam pembentangan dan artikel, pelajar diberikan kebebasan untuk memilih karya klasik atau moden.

Kursus ini akan membincangkan sejarah perkembangan bahasa Arab, faktor kemunculan dialek Quraish, pengaruh Islam kepada perkembangan bahasa Arab, dialek-dialek Arab yang terdapat dalam al-Qur’an dan hubungan antara Qira’at Qur’aniyyah dengan dialek Arab. Kursus ini juga akan membincang dan menganalisis tentang kemunculan dan perkembangan dialek semasa dan beberapa persoalan yang berkaitan.

Kursus ini adalah lanjutan kepada kursus PPAT4163 Bahasa Arab Media. Kursus ini direkabentuk bagi memberikan pendedahan teori dan praktikal industri komunikasi media melibatkan bahasa dan media Arab. Pelajar akan dilatih menterjemah dan menulis berita serta rencana dalam bahasa Arab. Pelajar juga mempelajari prinsip dan kemahiran komponen teras komunikasi media iaitu kewartawanan, penyiaran, pengiklanan dan hubungan awam. Selain daripada itu, pelajar akan menghubungkait interaksi komunikasi, bahasa dan budaya dan pengaruhnya terhadap paparan media tentang isu dan media global, terutamanya yang melibatkan negara Arab dan umat Islam. Selain daripada 4 minggu pembelajaran secara teori dan latihan persediaan kemahiran asas, kemuncak kursus ini ialah pembelajaran berasaskan pengalaman kerja sebenar di industri selama 14 minggu dalam kewartawanan dan penyiaran konvensional (media cetak, TV dan radio) serta media multiplatform.

Kursus ini membahaskan sejarah dan faktor yang mencorakkan perkembangan kesusasteraan Islam, mencakupi era tradisional dan moden, Dunia Islam keseluruhannya terutama rantau Arab dan Nusantara. Perbahasan mencakupi pelbagai genre puisi, cerpen, novel dan teater, menyentuh sasterawan Islam, di samping kritikan, teori dan pandangan yang disandarkan kepada identiti keislaman. Turut dibahaskan ialah persoalan sumber Islam dan bukan Islam yang menentukan identiti karya.

Kursus ini membahaskan sejarah dan faktor yang mencorakkan perkembangan kesusasteraan Arab moden, bermula zaman penaklukan Perancis ke atas Mesir hingga zaman moden, di samping menganalisis isu-isu sastera yang menyentuh agama, budaya dan bangsa. Perkembangan kesusasteraan tersebut mencakupi genre puisi, cerpen, novel dan teater. Fokus perbahasan diberikan pada karya dan pengkarya yang terpilih sahaja, mewakili pelbagai aliran, dibahaskan dari sudut nilai peradaban, keindahan dan keintelektualan.

Kursus ini bertujuan melatih pelajar secara amali teknik menterjemah pelbagai jenis teks daripada bahasa Arab ke bahasa Melayu dan daripada bahasa Melayu ke bahasa Arab. Tek-teks yang dipilih menyangkut bidang pengajian pelajar, iaitu bidang bahasa, sastera dan keagamaan. Kursus ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan teori terjemahan yang dipelajari serta melatih mereka menggunakan strategi-strategi tertentu untuk menghasilkan terjemahan yang bermutu. Selain itu, kursus ini juga memperkenalkan teknik asas menilai sesuatu teks terjemahan. Pelajar akan menggunakan teks sejajar (parallel text) untuk menilai, dan seterusnya menyunting teks sasaran berpandukan kriteria-kriteria penilaian dan kaedah penyuntingan teks apabila membandingkan teks sumber dengan teks sasaran. Tumpuan juga diberikan kepada perbincangan tentang masalah terjemahan yang dihadapi dan kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah, pengurusan peristilahan, pengurusan terjemahan secara berkumpulan dan sebagainya.

Kursus ini bertujuan untuk memaparkan sumber-sumber utama pengajian bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Arab. Di samping itu, kursus ini turut memperkenalkan tokoh-tokoh penulis yang berjaya menghasilkan karya agung mereka sepanjang sejarah kemunculan dan perkembangan pengajian bahasa dan kesusasteraan Arab. Selain itu, kursus ini juga akan menganalisis beberapa aspek yang berkaitan seperti sejarah penulisan sesebuah karya, faktor-faktor penulisan, metode penulisan dan inti pati karya agung tersebut.

Kursus ini ialah kursus asas bagi memperkasakan pelajar dengan kemampuan praktikal menginterpretasi berita yang dipersembahkan oleh media bahasa Arab. Bahan media meliputi akhbar dan majalah bercetak atau berasaskan internet, serta berita dan rencana yang disiarkan di radio dan televisyen. Dalam kursus ini pelajar akan mengenali bahan- bahan media di dunia Arab serta mempelajari perbendaharaan dan gaya bahasa umum dan spesifik menurut topik yang digunakan dalam media Arab. Pelajar juga akan diajar teknik menginterpretasi dan membuat ringkasan serta terjemahan Arab-Melayu berita- berita yang didengar/ditonton atau dibaca. Pelajar juga akan membincangkan secara kritikal isu-isu kontemporari dunia Arab.

Kursus ini bertujuan untuk mengkaji sejarah dan tamadun Islam di Iran bermula dengan pertapakan Islam pada zaman khulafa’ al-Rashidin sehinggalah perluasan kuasa pada zaman Kerajaan Umawi, Abbasi dan diikuti kemunculan kerajaan-kerajaan Islam di Iran. Fokus utama diberikan terhadap sejarah perkembangan Iran dari sudut politik, ekonomi, sosial dan budaya masyarakat. Perbincangan juga akan menjurus kepada penjajahan Monggol diikuti dengan kemunculan Timur Lang di Iran dan penubuhan kerajaan Safawiyyah sehingga menjadikan fahaman syiah sebagai agama rasmi masyarakat tersebut. Penekanan akan diberi terhadap sejarah awal kemunculan gerakan sufi sehingga terbentuknya Kerajaan Safawiyyah diikuti politik, sosial, ekonomi dan aktiviti perdagangan kerajaan tersebut.

Kursus ini membincangkan tentang perkembangan bidang falsafah sejarah Islam bermula dari zaman pembentukan ilmu historiografi Islam sehinggalah kepada zaman moden dan pasca moden. Tumpuan adalah untuk melihat sejarah pembentukan, teori, metode, aplikasi dan kepentingan falsafah sejarah Islam kepada bidang sejarah secara kesuluruhan. Untuk tujuan tersebut, kursus ini meninjau sejarah pembentukan falsafah sejarah Islam pada zaman historiografi Islam, pengasasan bidang falsafah sejarah Islam secara formal oleh Ibn Khaldun dalam karya Muqaddimah dan perkembangan serta aplikasi falsafah sejarah Islam pada zaman moden dan pasca moden. Falsafah sejarah para sejarawan Islam dalam kolompok historiografi Islam zaman awal dan pertengahan seperti al-Baladhuri, Ibn Ishaq, Ibn Hisham, al-Tabari, al-Mas‘udi, Miskawayh dan Ibn al-Athir dinilai bersama kemunculan Ibn Khaldun dan karya Muqaddimah. Seterusnya neraca falsafah sejarah Ibn Khaldun dilihat dalam konteks perkembangan falsafah sejarah spekulatif dan analitikal Barat seperti Hegel, Toynbee, Collingwood, Huntington, Edward Said dan Fukuyama. Manakala kerangka falsafah sejarah Malik Bennabi dan al-Attas sebagai perbandingan kepada kerangka falsafah sejarah Barat serta melihat kembali kepada perkembangan dan masa depan falsafah sejarah Islam.

Kursus ini bertujuan untuk meneliti sejarah ekonomi yang telah dilalui oleh masyarakat Islam sejak zaman awal Islam hingga abad ke-20M. Kursus ini mengetengahkan beberapa aspek penting seperti konsep dan falsafah sejarah ekonomi; aspek makro dan mikro ekonomi dalam sejarah ekonomi; sumber ekonomi; geografi ekonomi masyarakat Islam; sejarah perkembangan ekonomi meliputi zaman beberapa buah kerajaan besar di Timur Tengah; cabaran ekonomi yang dihadapi dan kemerosotannya, serta beberapa isu lain yang penting. Selain itu, kursus ini juga meninjau sejarah ekonomi rantau Mediterranean yang merupakan kawasan dagangan yang besar bagi kerajaan-kerajaan Islam dan banyak memberi impak kepada ekonomi dunia semasa ketika itu.

Kursus ini bermatlamat untuk membincangkan sejarah perkembangan ketenteraan Islam sejak zaman Nabi Muhammad (s.a.w.) hingga kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah. Antara perbahasan kursus ini ialah meliputi sistem pembentukan dan susunan ketenteraan Islam, perluasan kuasa dan wilayah, latihan ketenteraan, strategi dan teknik pertempuran, alat dan persenjataan serta beberapa siri pertempuran besar yang berlaku dalam sejarah Islam. Kursus ini turut menganalisis sejarah ketenteraan Islam di Timur Tengah, Eropah dan Asia serta melihat faktor kejayaan dan kegagalan mereka dalam sesebuah pertempuran.

Kursus ini membincangkan tentang konflik di rantau Asia Barat bermula dari era akhir abad ke-19, merentasi abad ke-20 dan awal abad ke-21. Penekanan adalah kepada tema dan isu-isu utama yang berlaku di rantau Asia Barat melibatkan penjajahan, kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, peperangan, perjanjian, gerakan nasionalisme, kebangkitan Islam, gerakan terorisme, isu Palestin, peranan PBB dan OIC serta dasar luar Amerika Syarikat dan Rusia di Asia Barat. Kursus ini akan meliputi setiap tema dan isu yang ditetapkan dari sudut kronologi sejarah dan cuba mencari faktor-faktor yang mencetuskan konflik di rantau Asia Barat. Secara strateginya kursus ini melatih pelajar berfikir ke arah penyelesaian konflik secara objektif berdasarkan prinsip Islam, pertimbangan undang-undang dan kemanusiaan.

Kursus ini membincangkan dengan terperinci latar belakang sejarah pemikiran politik Islam dari zaman Rasulullah (s.a.w.) hingga moden. Penekanan utama adalah kepada tema perkembangan pemikiran politik Islam yang berlaku di dunia Islam merentasi setiap zaman meliputi era Nabawi, Khulafa’, Umawi, Abbasi, Andalusi, Mamluki, ‘Uthmani dan moden. Perkembangan tersebut dianalisis seiring dengan kemunculan para sarjana pada setiap era dengan magnum opusnya yang membentuk setiap teori dan pemikiran politik yang tersendiri berdasarkan konteks zaman dan aliran pemikiran.

Kursus ini melibatkan pengkajian terhadap sumber-sumber rujukan mengenai sejarah dan tamadun Islam. Kajian bibliografi ini meliputi sumber primer, berautoriti dan muktabar, serta sumber sekunder, termasuk yang ditulis oleh kalangan orientalis. Antara sumber yang dikaji ialah seperti Tarikh al-Umam wa al-Muluk oleh al-Tabari, Ansab al-Ashraf oleh al-Baladhuri, Kitab al-Maghazi oleh al-Waqidi, al-Kamil fi al-Tarikh oleh Ibn al-Athir, al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa‘d, al-Fihrist oleh Ibn al-Nadim, ‘Uyun al-Anba’ fi Tabaqat al-Atibba’ oleh Ibn Abi Usyabi‘ah, Nafh al-Tib oleh al- Maqqari, al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah oleh Ibn al-Khatib, al-Nujum al-Zahirah oleh Ibn Tighribirdi, Muhammad at Mecca oleh Watt, Spanish Islam oleh Dozy serta History of the Ottoman Empire and Modern Turkey oleh Shaw. Kursus ini juga turut mengkaji biografi pengarang sumber-sumber primer dan sekunder tersebut.

Kursus ini bertujuan untuk membincangkan secara umum mengenai perkembangan dunia Islam dalam era moden. Perbincangan berdasarkan tiga tahap utama lingkungan sejarah iaitu Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan pasca Perang Dingin. Tumpuan adalah untuk memahami milieu politik, ekonomi dan sosial dunia Islam. Untuk tujuan tersebut, kursus ini meliputi isu-isu utama yang mendominasi dunia Islam iaitu penjajahan Barat ke atas dunia Islam, Perang Dunia Pertama, Penubuhan Negara Bangsa, konflik Israel-Palestin, Kebangkitan Islam di dunia Islam, kedudukan ekonomi di dunia Islam dan globalisasi serta pertembungan tamadun Barat-Islam.

Kursus ini bertujuan untuk memaparkan sumber-sumber utama pengajian bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Arab. Di samping itu, kursus ini turut memperkenalkan tokoh-tokoh penulis yang berjaya menghasilkan karya agung mereka sepanjang sejarah kemunculan dan perkembangan pengajian bahasa dan kesusasteraan Arab. Selain itu, kursus ini juga akan menganalisis beberapa aspek yang berkaitan seperti sejarah penulisan sesebuah karya, faktor-faktor penulisan, metode penulisan dan inti pati karya agung tersebut.

Kursus ini ialah kursus asas bagi memperkasakan pelajar dengan kemampuan praktikal menginterpretasi berita yang dipersembahkan oleh media bahasa Arab. Bahan media meliputi akhbar dan majalah bercetak atau berasaskan internet, serta berita dan rencana yang disiarkan di radio dan televisyen. Dalam kursus ini pelajar akan mengenali bahan- bahan media di dunia Arab serta mempelajari perbendaharaan dan gaya bahasa umum dan spesifik menurut topik yang digunakan dalam media Arab. Pelajar juga akan diajar teknik menginterpretasi dan membuat ringkasan serta terjemahan Arab-Melayu berita- berita yang didengar/ditonton atau dibaca. Pelajar juga akan membincangkan secara kritikal isu-isu kontemporari dunia Arab.

Kursus ini melibatkan pengkajian terhadap sumber-sumber rujukan mengenai sejarah dan tamadun Islam. Kajian bibliografi ini meliputi sumber primer, berautoriti dan muktabar, serta sumber sekunder, termasuk yang ditulis oleh kalangan orientalis. Antara sumber yang dikaji ialah seperti Tarikh al-Umam wa al-Muluk oleh al-Tabari, Ansab al-Ashraf oleh al-Baladhuri, Kitab al-Maghazi oleh al-Waqidi, al-Kamil fi al-Tarikh oleh Ibn al-Athir, al-Tabaqat al-Kubra oleh Ibn Sa‘d, al-Fihrist oleh Ibn al-Nadim, ‘Uyun al-Anba’ fi Tabaqat al-Atibba’ oleh Ibn Abi Usyabi‘ah, Nafh al-Tib oleh al- Maqqari, al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah oleh Ibn al-Khatib, al-Nujum al-Zahirah oleh Ibn Tighribirdi, Muhammad at Mecca oleh Watt, Spanish Islam oleh Dozy serta History of the Ottoman Empire and Modern Turkey oleh Shaw. Kursus ini juga turut mengkaji biografi pengarang sumber-sumber primer dan sekunder tersebut.

Kursus ini bertujuan untuk membincangkan secara umum mengenai perkembangan dunia Islam dalam era moden. Perbincangan berdasarkan tiga tahap utama lingkungan sejarah iaitu Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan pasca Perang Dingin. Tumpuan adalah untuk memahami milieu politik, ekonomi dan sosial dunia Islam. Untuk tujuan tersebut, kursus ini meliputi isu-isu utama yang mendominasi dunia Islam iaitu penjajahan Barat ke atas dunia Islam, Perang Dunia Pertama, Penubuhan Negara Bangsa, konflik Israel-Palestin, Kebangkitan Islam di dunia Islam, kedudukan ekonomi di dunia Islam dan globalisasi serta pertembungan tamadun Barat-Islam.

Kursus ini bertujuan untuk menilai dasar pembangunan Islam yang dilaksanakan di Malaysia semenjak 1957. Tumpuan adalah kepada manhaj yang diterapkan dalam dasar pembangunan Islam di Malaysia meliputi kedudukan Islam di peringkat Persekutuan, Negeri dan agensi-agensi terlibat. Kursus ini juga memberi fokus kepada pendedahan amali tentang pembangunan Islam di Malaysia melalui agensi berkaitan tentang operasi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI), penyelarasan antara pihak Persekutuan dengan Negeri, institusi Majlis Raja-Raja Melayu dan pembentukan dasar-dasar kerajaan berkaitan Islam. Hasil kursus akan memberikan pendedahan dan kefahaman holistik kepada pelajar tentang manhaj yang diterapkan dalam konteks pembangunan Islam di Malaysia.

Kursus ini pada bertujuan meneliti secara menyeluruh setiap aspek utama sejarah dan tamadun umat Islam di pelbagai negara dan kerajaan Islam, terutama di Timur Tengah, Asia Tengah, Mesir dan Andalus. Perbincangan dimulakan dengan Sirah Nabi Muhammad (s.a.w) termasuk semua peristiwa penting dalam kehidupan baginda dengan mengambil kira penulisan dan pandangan awal sejarawan awal dan sarjana moden. Perbincangan selanjutnya menumpukan beberapa isu-isu penting yang berlaku dalam era Khulafa’ al-Rashidin yang bermula dengan pelantikan Abu Bakr b. Abi Qahafah (r.a.) sebagai Khalifah pertama pada tahun 11H/632M. Seterusnya, kursus ini membincangkan sejarah dan tamadun umat Islam di pelbagai negara dan kerajaan Islam yang muncul sepanjang tempoh lebih kurang empat ratus tahun bermula dengan Kerajaan Banu Umayyah 41H/661M sehingga pertengahan abad ke-20M, ketika kebanyakan wilayah pemerintahan Islam dijajah oleh kuasa Eropah. Di samping itu juga, kursus ini meliputi perkembangan dan perubahan yang dialami oleh masyarakat Islam sepanjang tempoh tersebut dalam bidang politik, pentadbiran, sosial dan ekonomi, termasuk perkembangan tamadun Islam.