Faculty of Science and Technology
Sejarah penubuhan Fakulti Sains bermula pada tarikh 18hb Mei 1970 dan kemudian dipecahkan kepada 4 Fakulti pada tahun 1984 yang dinamakan sebagai Fakulti Sains Hayat, Fakulti Sains Fizikal dan Gunaan, Pusat Pengajian Kuantitatif dan Fakulti Matematik dan Sains Komputer. Pada tahun 1995, berlaku lagi rombakan kepada penstrukturan Fakulti yang menyaksikan penubuhan Fakulti Sains Hayat, Fakulti Sains Gunaan, Fakulti Sains Matematik dan Fakulti Sains Sumber Asli. Sejarah menyaksikan sebuah lagi peristiwa penting dalam memacu bidang Sains ke hadapan dengan tertubuhnya Fakulti Sains dan Teknologi pada tanggal 19 Julai, 1999 yang diterajui oleh 5 Pusat Pengajian.
Kini, 25 tahun kemudian, Fakulti Sains dan Teknologi telah melalui pelbagai fasa penstrukturan, cabaran dan penambahbaikan. Meskipun tampuk kepimpinan bersilih ganti, namun FST di bawah barisan kepimpinan yang mantap, berjaya melakar kejayaan yang membanggakan di peringkat antarabangsa, kebangsaan, negeri dan Universiti. FST juga berjaya menghasilkan alumni tersohor yang menyumbang kepakaran dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan negara, agama dan bangsa.
Oleh itu, bagi meraikan hari penting yang terpahat dalam sejarah penubuhan Fakulti Sains dan Teknologi bersama-sama warga FST, pelajar-pelajar dan alumni, satu program larian akan diadakan sempena sambutan Jubli Perak FST bakal dianjurkan pada 16hb November 2024 ini. Program larian ini menyokong dan selari dengan SDG 3 (Good Health and Well Being), SDG 5 (Gender Equality), SDG11 (Sustainable Cities and Communities) dan SDG 17 (Partnerships For The Goals).
Semoga program ini dapat merapatkan lagi hubungan antara warga FST, pelajar-pelajar, alumni dan pihak industri supaya kita boleh bersama-sama menerajui FST terus ke hadapan di samping melahirkan warga FST dan pelajar-pelajar yang sihat dan mempromosi gaya hidup sihat.