Ceramah Teknik Geologi Siri 4/2023 (Geology Technical Series 4/2023): Aplikasi Geosains Dalam Kajian Kapal Karam Bidong, Terengganu, Malaysia

Dimaklumkan bahawa Program Geologi UKM, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar (JSBAS), Fakulti Sains dan Teknologi akan mengadakan Ceramah Teknik Geologi Siri 4/2023 (Geology Technical Series 4/2023) pada butiran seperti berikut:
Tajuk:
Aplikasi Geosains Dalam Kajian Kapal Karam Bidong, Terengganu, Malaysia
Penceramah:
Prof. Madya Dr. Hasrizal bin Shaari
Pengarah
Centre of Research and Field Services (CRaFS)
Universiti Malaysia Terengganu
Tarikh : 12 April 2023 (Rabu)
Masa : 11.00 pagi – 12.00 tengah hari
Kaedah : Pautan Zoom
MEETING ID: 944 4088 6728
PASSCODE: 948206
Abstrak
Perkembangan kajian kapal karam adalah unik kerana ianya bukan semata-mata tertumpu di dalam disiplin ilmu arkeologi sahaja malahan ianya telah menjadi satu percambahan ilmu yang multidisiplin. Salah satu bidang yang mampu menyumbang kepada perkembangan kajian kapal karam ialah bidang geosains. Terdapat dua aplikasi penting bidang geosains dalam kajian kapal karam iaitu melibatkan fasa pra- dan pasca-eskavasi. Penemuan Kapal Karam Bidong pada 2012 yang terletak tidak jauh daripada Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT amat menarik kerana ia umpama kapsul masa yang menyimpan banyak maklumat untuk didedahkan. Fasa pra-eskavasi kapal karam Bidong adalah melibatkan skop geofizik iaitu bagi pemetaan keluasan tapak eskavasi kapal karam bidong dan penentuan tinggalan kapal karam di lapisan sub-permukaan yang telah ditimbusi sedimen. Manakala, eksperimen fasa pasca-eskavasi adalah melibatkan penentuan usia kapal karam, jenis-jenis, komposisi kimia dan mineralogi seramik. Sebanyak 306 artifak seramik telah diselamatkan semasa penggalian pertama pada tahun 2017 dan beberapa sampel semasa penggalian fasa kedua pada tahun 2022. Kebanyakan seramik yang ditemui adalah tembikar batu Thai yang terdiri daripada dua jenis utama iaitu Si Satchanalai dan Maenam Noi. Serpihan-serpihan seramik Thai yang telah diperolehi telah dilakukan analisa komposisi kimia dan mineralogi. Penentuan usia kapal karam Bidong dilakukan dengan menggunakan kaedah radiokarbon daripada pokok yang telah ditentusahkan genus dan spesis. Analisis radiokarbon menunjukkan bahawa sampel kayu boleh dibahagikan kepada dua tempoh masa, 1395-1444 Masihi untuk kayu rangka kapal dan 1437-1522 Masihi untuk kayu lantai. Jenis dan spesies kayu terdiri daripada Giam (Hopea Sp.) pada bahagian kayu rangka kapal dan Meranti Temak Nipis (Shorea roxburghii) bagi bahagian kayu lantai. Melihat kepada dapatan-dapatan menarik ini, kita melihat terdapat potensi yang luas bidang geosains dalam membantu perkembangan kajian kapal karam di Pulau Bidong khususnya dan Malaysia umumnya.