Bengkel Penilaian dan Penyerahan Draf Akhir Buku Penyelidikan Gegar Gamat Pemacu Perubahan (GGPP) UKM 2025 telah berlangsung pada 13 Mei 2025 (Selasa) bertempat di Hotel Park Royal @ UNITEN, Bangi, dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang. Bengkel ini dianjurkan oleh Pusat IDEA UKM sebagai usaha untuk menilai, menyemak dan memuktamadkan draf akhir tiga buah buku penyelidikan di bawah inisiatif GGPP yang menghimpunkan hasil-hasil penyelidikan terpilih daripada pelbagai kluster penyelidikan.
Tiga pewasit telah dijemput untuk memberikan penilaian dan cadangan penambahbaikan, iaitu Prof. Dr. Nur Azura Sanusi (Universiti Malaysia Terengganu), Prof. Ts. Dr. Seow Ta Wee (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia), dan Prof. Madya Dr. Wan Azdie Mohd Abu Bakar (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Turut hadir ialah Pengarah Pusat IDEA UKM, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal; para editor yang juga peneraju kluster penyelidikan iaitu Prof. Zulkefly Abdul Karim, Prof. Muhammad Rizal Razman dan Prof. Norbahiah Misran; wakil Penerbit UKM, Encik Zunnurain Razali yang turut menyampaikan taklimat teknikal proses penerbitan; serta semua pegawai tadbir Pusat IDEA UKM.
Hasil utama bengkel ini ialah semua draf akhir bagi ketiga-tiga buku telah disemak secara menyeluruh dan ditambah baik berdasarkan ulasan pewasit. Garis masa penyerahan akhir kepada Penerbit UKM juga telah dipersetujui bersama. Bengkel ini menandakan satu fasa penting dalam proses penerbitan karya ilmiah yang mencerminkan sumbangan strategik UKM terhadap pembangunan ilmu, dasar dan masyarakat bagi tahun 2025.
#UKM#IDEAUKM#UniversitiWatanKita




