Bersempena sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut serta bagi berkongsi ilmu dan maklumat berkenaan TVET kepada tetamu yang hadir.
Pada majlis itu, Ketua Kumpulan Penyelidikan Universiti (KPU) Dinamika TVET UKM, Prof. Madya Ts. Dr. Haryanti Mohd Affandi telah dijemput sebagai Panelis Forum Seminar Pengajar TVET Kebangsaan 2025 yang bertajuk “Sustainable TVET Practices: Innovative Strategies for Green Skills and Digital Readiness (Kelestarian Amalan/Ekosistem TVET: Strategi Inovatif ke Arah Integrasi Kemahiran Hijau dan Ketersediaan Digital).”
Kerjasama dalam bidang TVET telah digerakkan oleh Pusat IDEA semenjak tahun 2021 dan salah satu aktiviti yang dilaksanakan adalah Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi tahun 2025. Kolaborasi ini bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan dasar dan pemerkasaan ekosistem TVET negara.
Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan perasmiannya, YAB Perdana Menteri menegaskan komitmen kerajaan terhadap pemerkasaan TVET sebagai teras pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, selaras dengan visi Malaysia MADANI.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. UKM diwakili oleh Pengarah Pusat IDEA, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, merangkap Penyelaras Memorandum Persefahaman UKM-JPK, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal.





