Majlis Anugerah Bitara UKM 2025

Seramai 50 pemenang bagi 16 kategori yang merangkumi individu dan berkumpulan menerima anugerah di Majlis Anugerah Bitara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diadakan hari ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz berbesar hati hadir merasmikan majlis, seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Kehadiran beliau disambut oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd Razak dan Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh.

Majlis Anugerah Bitara UKM telah dianjurkan sejak tahun 2016, dan diadakan setiap tahun bagi mengiktiraf kecemerlangan staf dan jabatan dalam pelbagai bidang termasuk akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan, penjanaan dan pembangunan modal insan.

Anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi universiti kepada warga yang menonjol dengan pencapaian cemerlang, inovasi serta sumbangan berimpak tinggi kepada universiti dan masyarakat.

Penganugerahan ini mencerminkan komitmen UKM untuk menghargai usaha, dedikasi dan kepakaran warganya yang menjadi pemacu kecemerlangan akademik, penyelidikan, pengajaran, kreativiti serta khidmat kepada komuniti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Antara yang hadir ialah Ahli-ahli Lembaga Pengarah Universiti, Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pengerusan Tertinggi UKM.

Similar Posts