Kemuncak Universiti-Universiti Asia 2024 anjuran Times Higher Education (THE AUS’ 24)

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Abd. Razak dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman hadir ke majlis perasmian Kemuncak Universiti-Universiti Asia 2024 anjuran Times Higher Education (THE AUS’ 24) yang telah diadakan di Sunway University pagi tadi.
Program ini telah dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa mengutamakan kemenjadian mahasiswa serta, memastikan setiap universiti kekal fokus kepada kebitaraan yang tersendiri. Dalam masa yang sama, YB Menteri turut mengiktiraf ranking dalam ekosistem pendidikan tinggi negara, khasnya bagi meningkatkan persaingan dan penambahbaikan yang berterusan.
Disamping itu, ranking juga akan menjadi penanda aras dalam kalangan institut pendidikan tinggi di pentas tempatan atau global bagi meningkatkan keserlahan jalinan kerjasama dan kolaborasi. Usai tamat perasmian, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry turut meluangkan masa menyantuni mahasiswa Sunway University di kafetaria.
Beliau juga menyaksikan pemeterian Memorandum Perjanjian (MoA) antara Sunway University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan program Perubatan Kedoktoran Sunway University yang dijangka bakal memperkasakan lagi sektor kesihatan negara.
Kerjasama ini melibatkan penubuhan, pelaksanaan dan pemantauan program Perubatan Kedoktoran di Pusat Pengajian Perubatan dan Sains Hayat, Sunway University di mana UKM bakal menyediakan silibus dan bahan-bahan pengajian yang berkaitan untuk program ini bagi tempoh enam tahun.
Naib Canselor mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khasnya Kementerian Pendidikan Tinggi yang sentiasa memberi sokongan dan dokongan dalam melonjakkan lagi kecemerlangan pendidikan tinggi negara.
Beliau juga optimis bahawa kerjasama di antara UKM dan IPTS terkemuka negara seperti Sunway University akan membuka lebaran baharu dalam memastikan perkhidmatan pendidikan berkualiti tinggi dapat dicapai sebaiknya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman; Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah; Pro Naib Canselor (Kampus Kuala Lumpur), Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid; Pro Naib Canselor Strategi dan Kewatanan, Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan dan Dekan Fakulti Perubatan, Prof Dr Abdul Halim Abdul Ghafor.

Similar Posts