Tahniah UKM Melonjak Ke Tangga 253 Dunia Dalam UI GreenMetric

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju kelestarian apabila melonjak ke tangga 253 dunia dalam UI GreenMetric World University Rankings 2025, peningkatan konsisten daripada 319 (2024) dan 461 (2023). Pencapaian ini adalah lebih signifikan dengan mengambil kira pertambahan penyertaan global kepada 1,745 universiti pada 2025, berbanding 1,477 pada 2024, sekali gus menzahirkan daya saing UKM yang semakin kukuh di pentas antarabangsa.

Kemajuan ini mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategik Kelestarian UKM 2030, yang menekankan pengurusan operasi berasaskan kelestarian merangkumi kecekapan tenaga dan air, pembangunan inisiatif hijau berskala kampus, pengurusan karbon yang sistematik, serta pengukuhan pendidikan, penyelidikan dan inovasi berkaitan pembangunan mampan. Dengan hala tuju yang jelas dan komitmen kepimpinan yang berterusan, UKM akan terus memacu kecemerlangan sebagai kampus rujukan global dalam transformasi hijau, seterusnya memberi inspirasi kepada komuniti dalam dan luar negara untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih lestari.

Similar Posts