UKM Catat Pencapaian Cemerlang
Kebolehpasaran Graduan Meningkat 0.7% dan Pendapatan Melonjak 15%.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus cemerlang dengan mencatatkan pencapaian peningkatan yang memberangsangkan dalam agenda Kebolehpasaran Graduan UKM bagi tahun 2024. Statistik menunjukkan peratus kebolehpasaran graduan UKM telah mencecah 95.5%, peningkatan sebanyak 0.738% berbanding 94.8% pada tahun 2023. Peningkatan ini membuktikan kualiti graduan UKM yang terus menepati keperluan semasa pasaran kerja, malah ia juga mencerminkan mutu graduan UKM hasil dari pengajaran dan pembelajaran di UKM.
UKM turut mencatatkan peningkatan penjanaan kewangan dan pencapaian objektif strategiknya. UKMShape, telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM227,351,784. Pencapaian ini menunjukkan kejayaan UKMShape dalam memenuhi objektifnya untuk menawarkan program yang berdaya saing dan memenuhi keperluan semasa industri. Peningkatan pendapatan ini mencerminkan sambutan positif terhadap program-program yang ditawarkan melalui UKMShape, sekali gus mengesahkan keberkesanan usaha penambahbaikan berterusan kualiti program yang ditawarkan.
Kenaikan pendapatan UKMShape turut mempengaruhi penjanaan pendapatan UKM. Pendapatan UKM telah meningkat kepada RM764.4 juta bagi tahun 2024, peningkatan sebanyak 15.05% berbanding RM664.4 juta pada tahun 2023.
Pencapaian-pencapaian ini menunjukkan hasil usaha warga UKM dalam menghasilkan graduan berkualiti tinggi, menawarkan program pendidikan yang relevan, serta menguruskan sumber kewangannya dengan cekap, telah mengukuhkan kedudukan UKM sebagai salah satu institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia. Syabas UKM!!!


