Penyelidikan dan Penyeliaan (Siswazah)

Semua pelajar mod penyelidikan wajib hadir dan lulus kursus KKKF6003 Kaedah Penyelidikan untuk bergraduat. Pelajar dikehendaki untuk mendaftar kursus tersebut selewat-lewatnya pada tahunpertama pengajian mereka. Tujuan kursus adalah menyediakan pelajar siswazah yang baru mendaftar dengan kemahiran asas dalam penyelidikan dan penulisan akademik. Pelajar dikehendaki untuk membentangkan cadangan penyelidikan mereka pada akhir semester.

Pelajar yang gagal untuk memenuhi keperluan kursus akan diberikan gred E dan wajib mengulang kursus tersebut.

Proses pemantauan yang berkesan penting untuk memastikan pelajar dapat menamatkan pengajian dalam tempoh masa yang ditetapkan dan mematuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan. Kemajuan pelajar boleh dipantau melalui beberapa kaedah seperti berikut:

(a) Penyediaan Laporan Kemajuan Calon

Peraturan-peraturan Universiti Kebangsaan Malaysia (Pengajian Siswazah) 2015 menetapkan bahawa Penyelia Utama atau Pengerusi Jawatankuasa Penyeliaan hendaklah menyampaikan satu Laporan Kemajuan Calon kepada Sekretariat/Jawatankuasa Siswazah Fakulti pada setiap semester sepanjang tempoh pengajiannya.

(b) Pertemuan Penyelia-Pelajar

Pertemuan penyelia-pelajar harus dilakukan seperti berikut:

  • sekurang-kurangnya empat (4) kali sebulan atau seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Siswazah Fakulti;
  • sekurang-kurangnya empat (4) kali satu semester bagi pelajar separuh masa;
  • sekurang-kurangnya sekali (1) satu semester dengan Jawatankuasa Penyeliaan bagi pelajar yang diselia oleh suatu Jawatankuasa Penyeliaan;
  • sekurang-kurangnya sekali (1) satu semester bagi pelajar Kedoktoran laluan Industri.

(c) Seminar Pembentangan Cadangan Penyelidikan

Seminar ini dianjurkan pada akhir kursus Kaedah Penyelidikan (KKKF6003) yang mana pelajar yang mendaftar kursus tersebut dimohon untuk membentangkan cadangan penyelidikan mereka. Dua (2) penilai dalam bidang yang berkaitan dilantik untuk menilai cadangan penyelidikan pelajar.

(d) Seminar Pembentangan Kemajuan dan Pemantauan Pelajar Siswazah

Seminar ini dianjurkan pada setiap semester untuk pelajar membentangkan kemajuan penyelidikan mereka  Pembentangan akan dilakukan oleh pelajar Sarjana yang berada pada Semester ke 3 pengajian dan pelajar Doktor Falsafah yang berada pada Semester ke-3 dan Semester ke-5 pengajian. Dua (2) penilai dalam bidang yang berkaitan dilantik untuk menilai kemajuan penyelidikan pelajar.

(e) Pembentangan Akhir Penyelidikan

Pembentangan akhir penyelidikan seharusnya dibuat sebelum penyerahan tesis/disertasi untuk pemeriksaan.  Pembentangan akhir perlu diperakukan oleh penyelia.

(f) Penggunaan Buku Penyeliaan (Log Book)

Buku Penyeliaan boleh digunakan untuk mendokumen kemajuan pelajar. Buku Penyeliaan perlu sentiasa dikemaskini dengan catatan tentang perkara yang dibincangkan semasa pertemuan penyelia-pelajar.  Maklumat dalam Buku Penyeliaan boleh digunakan sebagai rujukan untuk menyediakan Laporan Kemajuan Calon. Fakulti perlu membekalkan setiap pelajar dengan Buku Penyeliaan. Kedua-dua penyelia dan pelajar perlu menandatangani Buku Penyeliaan semasa setiap kali pertemuan.

Setiap pelajar hendaklah menulis tesis/disertasi dalam Bahasa Melayu.

Pelajar boleh memohon untuk menulis tesis/disertasi dalam Bahasa Inggeris dengan syarat mendapat kelulusan daripada Dekan. Permohonan hendaklah dibuat secara bertulis selewat-lewatnya pada Semester kedua (2) bagi calon program Sarjana dan Semester keempat (4) bagi calon program Kedoktoran.

Penulisan tesis hendaklah mengikut format penulisan gaya UKM sebagaimana yang terdapat dalam Buku Panduan Penulisan Tesis/Disertasi Gaya UKM. Templat boleh dimuat turun dari laman sesawang Pusat Siswazah melalui pautan berikut:

http://www.ukm.my/pusatsiswazah/templat-gayaukm/

Had maksimum untuk tesis Sarjana hendaklah tidak melebihi 60,000 patah perkataan manakala tesis kedoktoran hendaklah tidak melebihi 100,000 patah perkataan.

Setiap pelajar perlulah memenuhi syarat penerbitan yang telah ditetapkan oleh Fakulti untuk bergraduat seperti berikut:

  • 1 kertas jurnal berindeks ISI/Scopus bagi pelajar Sarjana
  • 2 kertas jurnal berindeks ISI/Scopus bagi pelajar PhD

Pembuktian penerbitan

Lampirkan pengesahan penerbitan dari laman web Scopus (www.scopus.com) bagi yang telah diterbitkan atau surat pengesahan penerimaan untuk penerbitan bagi yang belum diterbitkan.

Graduate on Time atau GOT adalah pengiktirafan yang diberikan kepada pelajar PhD yang lulus dan diluluskan oleh Senat dalam tempoh 7 semester atau 42 minggu.

Tujuh (7) semester atau 42 bulan dihitung dari tarikh pendaftaran hingga tarikh tamat pengajian yang diluluskan Senat. Untuk calon yang membuat penukaran dari Sarjana kepada PhD, tempoh pengajian dikira dari mula tarikh pendaftaran Sarjana dan bukan selepas penukaran.