Skip to main content

Jabatan Anatomi Fakulti Perubatan

Kursus Pengawetan Mayat Perkasa Pengetahuan dan Pengurusan Jenazah

27 Ogos 2026 – Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Kursus Pengawetan Mayat selama dua hari pada 26 hingga 27 Ogos 2026. Kursus tersebut disertai oleh peserta daripada Pengurusan Jenazah AHIM, Sarawak.

Kursus yang berlangsung selama dua hari ini merangkumi sesi teori dan praktikal bagi memberikan pendedahan menyeluruh kepada para peserta berkaitan aspek pengawetan mayat. Sesi teori telah diadakan pada hari pertama, manakala sesi praktikal dilaksanakan pada hari kedua di Dewan Diseksi, Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, UKM.

Sesi teori telah disampaikan oleh tiga orang penceramah jemputan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing. Penceramah terdiri daripada Dr. Salmiah Baharuddin, Pegawai Epidemiologi, Pejabat Kesihatan Cheras, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Prof. Dr. Faridah Mohd Nor, mantan Ketua Jabatan, Unit Forensik, Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM); dan Prof. Madya Dr. Mohd Nasir Abdul Majid, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pada hari kedua, para peserta mengikuti sesi praktikal yang diadakan di Dewan Diseksi, Jabatan Anatomi. Sesi ini memberikan peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh melalui sesi teori dengan pendedahan secara amali berkaitan proses dan kaedah pengawetan mayat.

Kursus kemudiannya diakhiri dengan majlis penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta sebagai tanda penghargaan atas komitmen dan penyertaan mereka sepanjang kursus berlangsung.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan, UKM dalam berkongsi kepakaran dan pengetahuan dalam bidang anatomi serta pengawetan mayat dengan pihak luar. Diharapkan kursus seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuh jaringan kerjasama serta perkongsian ilmu antara institusi dan organisasi berkaitan.