Lembayung TERAS menjelaskan tentang nilai dan prinsip yang menjadi tunjang kepada perancangan dan pelaksanaan tanggungjawab warga UKM. Nilai dan prinsip ini harus ada dalam semua kebitaraan dan prakarsa UKM yang kemudiannya menjadi asas kepada perancangan strategik, pembinaan gerak kerja dan penentuan Indeks Pencapaian Utama atau KPI. Ini bertujuan untuk menghasilkan warga UKM yang berpegang kepada Falsafah Universiti dalam melaksanakan misi dan visi UKM.
Pernyataan Visi UKM menyatakan bahawa UKM bertekad menjadi universiti terkehadapan yang mendahului langkah masyarakat dan zamannya bagi membentuk masyarakat dinamik, berilmu dan berakhlak mulia. Pernyataan Misi UKM pula menyatakan bahawa UKM menjadi universiti terpilih yang memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan. Visi dan Misi ini memberi panduan kepada warga UKM untuk menentukan hala tuju, menyususun keutamaan, merangka strategi dan menilai keberkesanan dalam semua aspek kemajuan UKM.
Bagi mencapai tekad ini, TERAS yang menjadi nilai dan prinsip kebitaraan dan prakarsa kepada Visi dan Misi UKM menjelaskan tentang kepentingan Bakat (Talent), Etika (Ethics), Memperkasakan (Revitalise), Ketangkasan (Agile) dan Roh (Soul) sebagai lembayung kepada pembangunan universiti.