Search
Close this search box.

TERAS Watan UKM

Moto

Ilmu, Mutu, Budi

Falsafah

Paduan antara iman kepada Allah dengan ilmu yang bermanfaat serta gabungan antara teori dengan amal adalah dasar utama bagi perkembangan ilmu, proses pembinaan masyarakat terpelajar dan pembangunan Universiti.

Visi

UKM bertekad menjadi Universiti terkehadapan yang mendahului langkah masyarakat dan zamannya bagi membentuk masyarakat dinamik, berilmu dan berakhlak mulia.

Misi

Menjadi Universiti terpilih yang memartabatkan bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan.

Matlamat Pendidikan

Graduan Beraspirasi Kebangsaan, Berkompeten, Berdaya Saing dan Inovatif

Nilai TERAS

Bakat, Etika, Memperkasa, Tangkas dan Jiwa

Cokmar

Cokmar

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah kurniaan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dengan persetujuan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai lambang kuasa Universiti. Cokmar ini digunakan dalam upacara rasmi Universiti seperti Majlis Konvokesyen dan Majlis Perisytiharan Pelantikan Canselor dan juga Pro-Canselor.

Obor

Obor terletak di atas ukiran yang berupa masjid/bangunan yang melambangkan ilmu pengetahuan dan keteguhan iman. Obor sebagai simbol pendidikan, melambangkan peranan Universiti sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang berupaya menyumbang ilmu pengetahuan dan kepakaran untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat.

Batil

Bentuk bulat yang terdapat di bawah obor adalah sebiji batil yang melambangkan dunia. Ini menunjukkan UKM adalah sebahagian daripada masyarakat ilmiah antarabangsa yang sedia menerima apa jua ilmu pengetahuan daripada sebarang sumber dan seterusnya menyumbangkan ilmu pengetahuan itu kepada masyarakat dalam dan luar negara. Di sebelah atas batil terdapat lambang negeri, sementara pada permukaan batil pula terdapat lambang UKM dan negara Malaysia.

Bunga Raya dan Lima Bilah Keris

Bentuk batil yang melambangkan dunia itu terletak atas sekuntum bunga raya yang disokong oleh lima bilah keris. Bunga raya ialah bunga kebangsaan sementara keris menunjukkan tradisi kebudayaan negara. Lima bilah keris menunjukkan lima prinsip Rukun Negara.

Daun Lontar

Di antara bunga raya dengan batil digambarkan sepelepah daun lontar yang melambangkan kesusasteraan.

Batang Cokmar

Di sepanjang batang cokmar terdapat motif yang melambangkan falsafah Universiti dan fakulti di dalamnya. Ini menunjukkan universiti ingin melahirkan siswazah serba boleh, pragmatik dan kreatif, di samping menyumbang idea untuk kemajuan dan pembangunan masyarakat. Di tengah batang cokmar diukir motif buah padi, melambangkan kemakmuran negara dan beras sebagai makanan utama.

Gasing

Bahagian bawah cokmar diukirkan dalam bentuk sebuah gasing yang mempunyai paksi. Pecahan lima melambangkan lima faktor ekonomi iaitu perindustrian, perlombongan, pengangkutan, pertanian dan perikanan. Di atas gasing itu terukir gambar yang menunjukkan hasil-mahsul negara.