Bengkel Pasca Nilai Majlis Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2025 & Majlis Anugerah Bitara UKM Ke-10
Pusat Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Bengkel Pasca Nilai Majlis Bicara Perdana Naib Canselor UKM 2025 dan Majlis Anugerah Bitara UKM Ke-10 selama dua hari bermula 9 hingga 10 Januari 2026 bertempat di Fairfield by Marriott, Besut, Terengganu.
Bengkel ini dianjurkan bertujuan untuk menilai keberkesanan penganjuran kedua-dua majlis utama universiti tersebut, di samping mengenal pasti kekuatan, cabaran serta ruang penambahbaikan bagi penganjuran program berskala besar pada masa hadapan. Penilaian pasca program ini dilihat penting dalam memastikan setiap inisiatif UKM selari dengan aspirasi universiti, tadbir urus yang cekap serta kecemerlangan berterusan.
Fokus turut diberikan kepada aspek pengurusan acara, penglibatan pemegang taruh, penyampaian mesej strategik, serta impak kepada UKM.
Hasil perbincangan bengkel ini diharap dapat menghasilkan cadangan-cadangan penambahbaikan yang konstruktif dan praktikal, sekali gus menjadi panduan dalam memperkukuh kualiti penganjuran majlis rasmi UKM pada masa akan datang. Inisiatif ini mencerminkan komitmen dalam mengamalkan budaya penilaian berterusan demi memastikan kecemerlangan organisasi dan reputasi universiti terus diperkasakan.

