Bengkel Pembentangan Pencapaian Prestasi KPI Strategik Universiti Tahun 2025
Naib Canselor, YBhg. Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman menghadiri Bengkel Pembentangan Pencapaian Prestasi KPI Strategik Universiti Tahun 2025, yang berlangsung di Grand Lexis, Port Dickson, semalam. Bengkel ini telah berjaya dilaksanakan bermula daripada Jumaat, 17hb Januari 2025.
Bengkel ini bertujuan untuk menilai, menambah baik, dan menyemak semula pelaksanaan KPI yang telah ditetapkan untuk institut, fakulti dan pusat tanggungjawab (PTj) pada awal tahun 2025 selaras dengan aspirasi Universiti untuk terus memperkukuh kedudukan sebagai universiti watan yang cemerlang.
Program dimulakan dengan sesi pembentangan oleh wakil institut dan fakulti, diikuti dengan pembentangan oleh Ketua Bitara.
Naib Canselor merakamkan penghargaan kepada semua barisan pentadbir Universiti atas komitmen dan dedikasi mereka dalam meluangkan masa menghadiri bengkel ini.
Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua warga UKM atas usaha dan kerjasama dalam memastikan kecemerlangan universiti diteruskan.
Dalam ucapan beliau, Naib Canselor menekankan bahawa UKM memiliki “roh” dan identiti tersendiri, di mana naiknya tidak memijak dan turunnya tidak mengait.
Sebagai sebuah universiti yang telah mencapai pelbagai kejayaan dan kecemerlangan, beliau mengingatkan agar warga UKM terus memikul tanggungjawab terhadap pemegang taruh, menjaga kebajikan komuniti universiti, serta menghayati asas penubuhan UKM. Hal ini penting agar universiti sentiasa berada di landasan yang betul dan selari dengan agenda Universiti Watan. Naib Canselor turut menekankan berkenaan konsep keserakanan dan yakin warga UKM akan bergerak sebagai sebuah keluarga besar bagi mencapai kecemerlangan mendatang.
Bengkel ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Halim Abdu Gafor; TNC Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani; TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil; Bendahari, Encik Mohd Azli Mohd Kasirun; Pro Naib Canselor (Strategi dan Kewatanan), Prof. Dato’ Dr. Roslee Rajikan; Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana), Prof. Sr Ts. Dr. Adi Irfan Che Ani, Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid serta barisan Pengurusan Tertinggi, Pengarah-Pengarah Institut, dan Dekan-Dekan Fakulti.


































