Oleh Norzatul ‘Ezzah Hasan
Foto Kursi Kelestarian UKM-YSD
KUALA SALA, 26 Februari 2026 – Seramai hampir 120 peserta terdiri daripada komuniti setempat, sukarelawan, agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan (NGO) dan wakil universiti menyertai Program Pembersihan Pesisiran Pantai Kuala Sala yang dianjurkan oleh Kursi Kelestarian UKM-YSD.
Peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan golongan peringkat umur bersama-sama turun padang membersihkan pesisir pantai dan berjaya mengumpul kira-kira 200 kilogram (kg) sisa pepejal.
Selain itu, sebanyak 302.4 kg bahan boleh kitar semula seperti minyak masak terpakai, kertas, kotak, besi, botol plastik dan lain-lain lagi berjaya dikumpulkan dan dijual semula kepada syarikat konsesi E-Idaman bagi meningkatkan amalan ekonomi kitaran.
Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata keupayaan masyarakat untuk beradaptasi dan bertindak terhadap perubahan iklim adalah salah satu elemen penting dalam membina ketahanan komuniti.
“Melalui program-program seperti ini, kita bukan sahaja memberi pendidikan tentang pengurusan sisa dan perlindungan alam sekitar, tetapi juga menggalakkan masyarakat untuk menjadi lebih berdaya tahan dan aktif dalam membina masa depan yang lebih hijau dan mampan.
“Dalam merealisasikan hasrat ini, kita tidak boleh bertindak sendirian. Kerjasama erat dan komitmen tinggi daripada kepimpinan komuniti setempat, khususnya MPKK Kuala Sala, MKK Permatang Bongor serta pertubuhan komuniti seperti HELWA Permatang Bongor dan Persatuan Pejuang Silaturahim Mala-U Kuala Kedah adalah sinergi antara institusi, agensi dan masyarakat yang membuktikan bahawa kekuatan sebenar kelestarian terletak pada kolaborasi yang inklusif dan berterusan,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian.
Program ini mendapat sokongan strategik daripada pelbagai pihak termasuk Institut Perubahan Iklim, Pusat Strategi, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), SWCorp, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Ikatan Mahasiswa Darul Aman (MINDA).
Program itu membuktikan bahawa gabungan advokasi, tindakan dan amalan kitar semula mampu melahirkan komuniti yang lebih peka, bertanggungjawab dan berdaya tahan terhadap cabaran alam sekitar.
Program Pembersihan Pesisiran Pantai Kuala Sala yang diketuai oleh Prof. Dr. Kamisah Osman, turut melibatkan wakil penyelidik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi MARA Kampus Arau. Turut hadir, Timbalan Pengarah Kelestarian, Pusat Strategi UKM, Prof. Sr.Ts.Gs. Dr. Khairul Nizam Maulud.

