Oleh: Dr Nurrul Hafeezah Sahak, Pensyarah Kanan Jabatan Fizik Gunaan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Kemalangan jalan raya sering dilihat sebagai perlanggaran fizikal antara kenderaan, namun hakikatnya ia membawa kesan yang jauh lebih kompleks. Awal minggu ini Malaysia digemparkan dengan kemalangan tragis yang melibatkan sebuah kenderaan milik FRU yang mengorbankan sembilan anggota, manakala tiga anggota lain masih dalam keadaan kritikal. Ini membuktikan kesan kemalangan jalan raya adalah melebihi kerosakan material.
Kemalangan yang berpunca dari kecuaian sebuah lori memberi impak kepada pengguna jalan raya yang lain dan lebih tragis lagi, meragut nyawa. Kesan kemalangan tidak terhenti di situ sahaja. Kecederaan akibat kemalangan memerlukan rawatan intensif, fisioterapi dan kadang kala pembedahan berulang. Dalam kes barisan hadapan negara, kecederaan boleh menjejaskan keupayaan bertugas, memberi kesan kepada keselamatan operasi. Keupayaan mereka untuk kembali menjalankan tugas seperti sebelum kemalangan juga mungkin terjejas.
Anggota FRU yang cedera parah berisiko mengalami gangguan tekanan pasca trauma (PTSD). Trauma psikologi selepas kemalangan adalah punca utama pengurangan kualiti hidup dalam kalangan mangsa kemalangan. Hilang upaya sementara atau kekal boleh menyebabkan kebergantungan kepada orang lain dan pengasingan sosial.
Selain itu trauma turut dirasai secara mendalam oleh ahli keluarga mangsa yang terkorban. Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba dalam kemalangan boleh meninggalkan kesan emosi yang berpanjangan, termasuk kebimbangan dan kemurungan. Bagi ahli keluarga mangsa yang terkorban, mereka bukan sahaja kehilangan insan tersayang, malah turut kehilangan pencari nafkah utama keluarga. Fasa kehilangan ini memberi tekanan kepada keluarga mangsa dari segi emosi dan kewangan.
Ini merupakan antara kesan tidak langsung kemalangan jalan raya yang sering terlepas pandang. Meskipun media massa kerap menekankan betapa seriusnya isu kemalangan jalan raya, kadar kemalangan masih menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), di Malaysia, kemalangan jalan raya merupakan penyebab kematian kelima tertinggi daripada 139 punca utama kematian. Statistik juga menunjukkan bahawa setiap 27 minit, seorang rakyat Malaysia maut akibat kecederaan yang berpunca daripada kemalangan jalan raya.
Ini bukan kali pertama berlakunya kemalangan yang meragut lebih daripada satu nyawa. Keselamatan di jalan raya bukan hanya melibatkan orang awam, tetapi turut merangkumi aspek keselamatan pengangkutan pasukan khas. Oleh yang demikian, keselamatan tidak seharusnya difokuskan hanya di lokasi tugasan, sebaliknya perlu meliputi keselamatan semasa dalam perjalanan — terutamanya bagi barisan hadapan negara yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan rakyat.
Kemalangan jalan raya bukan hanya melibatkan perlanggaran antara kenderaan, tetapi turut meninggalkan kesan yang mendalam terhadap kesihatan fizikal dan mental mangsa, kesejahteraan keluarga, serta kelangsungan fungsi masyarakat secara keseluruhan. Oleh itu, pendekatan terhadap keselamatan jalan raya perlu melangkaui aspek teknikal semata-mata, dengan memberi penekanan kepada aspek kemanusiaan seperti sokongan psikologi dan pemulihan jangka panjang. Insiden yang melibatkan kenderaan FRU ini wajar dijadikan iktibar untuk mendorong pembaharuan sistematik dalam pengurusan keselamatan jalan raya di negara ini.