250 Inovator Muda dari Sembilan Negara Sertai IEEE YESIST 12

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 4 September 2025 – Seramai 250 inovator muda yang terdiri daripada pelajar, ahli akademik, pemimpin industri dan penggerak komuniti dari negara India, Indonesia, Bangladesh, Mesir, Pakistan, Kenya, Uganda, Nepal dan Malaysia berkumpul di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi menyertai pertandingan IEEE Youth Endeavours for Social Innovation Using Sustainable Technology (IEEE YESIST 12) 2025.

IEEE YESIST12 yang diadakan di Akademia Siber Teknopolis baru-baru ini adalah platform global yang menggalakkan belia menangani cabaran sosial dunia sebenar melalui penyelesaian teknologi mampan.

Timbalan Menteri Perpduan, Senator Saraswathy Kandasami berkata para pelajar dan profesional muda yang hadir pada program itu bukan sahaja membawa kemahiran teknikal, tetapi juga semangat untuk tujuan sosial.

“Inovasi adalah satu keperluan, bukannya kemewahan kerana masa depan lestari yang kita impikan sangat bergantung kepada idea dan tenaga anak muda.

“IEEE YESIST12 bukan sekadar sebuah pertandingan tetapi ia adalah tapak pemupukan nilai-nilai murni. Apabila kecemerlangan teknikal digabungkan dengan jiwa untuk komuniti, maka lahirlah makna sebenar inovasi moden,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian di IEEE YESIST 12, baru-baru ini.

Beliau berkata tema Age of InnovationIgnite Your Ideas, Transform Tomorrow yang dipilih untuk program ini adalah bermaksud satu idea, apabila dipupuk dengan baik, mampu menjadi pemangkin kepada perubahan sistemik.

“Sebagai contoh, idea boleh berkembang daripada usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar menjadi pembangunan penyelesaian tenaga lestari, yang dapat menggerakkan kampung dan bandar.

“Anggaplah idea anda sebagai percikan kecil — dengan bimbingan yang tepat, berupaya menerangi laluan bagi ramai orang. Gunakan kesempatan yang adai ini untuk memperhalusi percikan tersebut serta membina jambatan merentasi pelbagai disiplin dan budaya,” katanya.

Pengarah Yayasan Canselor, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Mayarakat, Prof. Ts. Dr. Faizal Mohamed turut hadir ke majlis ini.

Leave a Reply