Oleh Siti Hajar Mohammad dan Roszalina Ramli
KUALA SELANGOR, 5 Ogos 2025 – Seramai 50 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) daripada pelbagai fakulti di kampus Bangi dan Kuala Lumpur mengikuti Program EcoShapers@UKM Siri ke-5 di Taman Alam, Kuala Selangor bagi memperkasa budaya amalan lestari dan gaya hidup sihat.
Bertemakan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiental learning), program ini adalah inisiatif kolaboratif pasukan pegawai penyelidik UKM dan Universiti Malaya (UM) dengan sokongan geran Malaysia Research University Network Research Officer Grant Scheme (MROGS-2023-001) dengan tujuan membumi mesej dan tindakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Melalui program ini, para peserta melakukan pembersihan hutan bakau bersama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dengan menyusuri hutan paya bakau untuk mengutip sampah yang terperangkap dalam ekosistem tersebut.
Menurut Pegawai Program Taman Alam Kuala Selangor, Ashok Kumar, walaupun aktiviti pembersihan hutan bakau tidak sepopular penanaman pokok bakau, aktiviti ini tetap memainkan peranan penting dalam usaha pemuliharaan dan perlindungan habitat pesisir pantai yang sangat bernilai kepada negara.
“Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat secara langsung kepentingan ekosistem bakau dalam mitigasi perubahan iklim, perlindungan garis pantai, penyerapan karbon serta kekayaan biodiversiti,” katanya.
Selain manfaat alam sekitar, aktiviti pembersihan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran peserta tentang kesan pencemaran dan memupuk amalan pengurusan sisa yang bertanggungjawab.
Dalam tempoh dua jam sahaja, sebanyak 186.1 kilogram (kg) sampah-sampah yang hanyut masuk ke kawasan bakau ketika air pasang dan tersangkut apabila air surut telah berjaya dikutip oleh pasukan EcoShapers UKM.
Tanpa pembersihan berkala, ekosistem ini terancam, sekaligus menjejaskan habitat pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan bakau.
Selain itu, peserta turut didedahkan dengan pengalaman penghasilan kertas menggunakan sisa kertas terpakai seperti surat khabar, kotak dan kertas kegunaan harian dengan menggunakan prinsip 3R (Reduce, Reuse, Recycle).
Menurut penyelidik utama projek, Mohd Shafiq Rahmat, EcoShapers bukan sekadar program kesukarelawanan atau aktiviti luar, tetapi medan memperkasa belia sebagai agen perubahan kelestarian yang mampu bertindak dalam komuniti.
Seorang peserta, Saiful Bahri, pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata aktiviti turun ke medan membersih hutan paya bakau memberi mereka pengalaman bermakna dalam menghargai alam sekitar dan memahami betapa besar kesan pencemaran terhadap ekosistem.
Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan mengintegrasikan rangka SDG dalam bentuk yang lebih praktikal, EcoShapers@UKM komited untuk membentuk generasi muda yang bukan sekadar mengamalkan kelestarian, tetapi juga belia sihat dan cergas serta mampu memimpin perubahan melalui tindakan.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Malaysian Research University Network (MRUN) atas sokongan melalui geran MROGS-2023-001 yang membolehkan inisiatif ini terus memberi impak bermakna kepada universiti dan komuniti.


