SONGKLA, THAILAND, 17 Februari 2026 – Persatuan Nadi Alumni memperkenalkan satu model baharu dalam pembangunan kepimpinan mahasiswa melalui Alumni–Student Cross Border Engagement Development (ASCEND), sebuah inisiatif strategik yang menghubungkan pelbagai persatuan mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan rakan strategik di Prince of Songkla University (PSU), Thailand.
Program ini dilaksanakan dengan sokongan rasmi daripada Pusat Perhubungan Alumni UKM bertujuan memperkukuh jaringan kolaborasi serta memperluas perkongsian amalan kepimpinan di peringkat antarabangsa.
Ketua Pengarah ASCEND, Muhammad Aqil Fahmi Zaid berkata program tersebut berfungsi sebagai platform pembangunan kepimpinan yang menekankan nilai kolaborasi, diplomasi, dan pengurusan strategik rentas budaya.
“ASCEND bukan sekadar program mobiliti antarabangsa. Ia merupakan ruang untuk mahasiswa mengasah kemahiran kepimpinan melalui pengalaman sebenar bekerjasama dengan pelajar dari pelbagai latar belakang serta meneroka amalan tadbir urus persatuan di luar negara,” jelasnya.
Menurut Muhammad Aqil, program ASCEND menonjol melalui penglibatan pelbagai entiti mahasiswa UKM termasuk Kesatuan Mahasiswa UKM, Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Sekretariat Rakan Muda UKM, Persatuan Mahasiswa Anak Selangor dan Parlimen Mahasiswa.
Tambahnya, melalui pendekatan rentas persatuan ini, peserta didedahkan kepada pelbagai gaya kepimpinan dan model tadbir urus yang berbeza, sekali gus membentuk asas kepada pembangunan kepimpinan yang lebih inklusif dan berdaya global.
“Penyertaan pelbagai persatuan dari UKM dan PSU memperlihatkan kekuatan ASCEND sebagai platform kolaboratif yang mampu memperkukuh struktur kepimpinan mahasiswa serta membuka peluang kepada mobiliti strategik antara persatuan.
“Inisiatif ini menjadi asas penting kepada pembentukan budaya kepimpinan yang berterusan dan saling melengkapi.
“ASCEND turut mencerminkan perubahan pendekatan pembangunan mahasiswa di UKM, dengan penekanan terhadap kepimpinan yang inklusif, berimpak dan berteraskan kerjasama strategik.
“Program ini komited dalam melahirkan pemimpin mahasiswa yang kompeten, berdaya saing dan bersedia berkolaborasi di peringkat antarabangsa sekali gus menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan kepimpinan mahasiswa yang progresif dan mampan,” katanya.

