Oleh Dr Nurrul Hafeezah Sahak, Pensyarah Fakulti Sains dan Teknologi
Sambutan Hari Raya Aidilfitri merupakan detik yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia. Kemeriahan balik kampung, kunjung-mengunjung dan pertemuan bersama keluarga menjadikan perayaan ini penuh makna. Namun begitu, di sebalik kemeriahan yang dirasai, aspek keselamatan sering kali terabai.
Setiap kali musim perayaan menjelang, jumlah kenderaan di jalan raya meningkat dengan ketara, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan. Keletihan, sikap tergesa-gesa dan kecuaian semasa memandu sering menjadi punca utama tragedi. Dalam hal ini, setiap individu perlu memainkan peranan dengan merancang perjalanan lebih awal, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mengelakkan pemanduan ketika letih. Perlu diingat, keutamaan bukanlah untuk tiba dengan cepat, tetapi untuk sampai dengan selamat.
Selain keselamatan di jalan raya, aspek keselamatan kediaman juga perlu diberi perhatian. Rumah yang ditinggalkan kosong sepanjang tempoh perayaan berisiko menjadi sasaran jenayah. Langkah pencegahan seperti memaklumkan ketiadaan kepada jiran, memastikan pintu dan tingkap dikunci rapi serta menutup suis peralatan elektrik adalah tindakan mudah tetapi signifikan. Orang ramai juga digalakkan memanfaatkan inisiatif pemantauan yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia bagi membolehkan pemantauan dan rondaan berkala di kawasan kediaman sepanjang musim perayaan.
Dalam pada itu, penggunaan mercun dan bunga api yang tidak terkawal boleh mengundang bahaya, khususnya kepada kanak-kanak. Kecederaan akibat kecuaian bukan sahaja memberi kesan fizikal, malah boleh meninggalkan trauma jangka panjang kepada mangsa dan keluarga. Oleh itu, pengawasan oleh ibu bapa atau penjaga amat penting bagi memastikan aktiviti ini tidak bertukar menjadi tragedi.
Usaha pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dalam melaksanakan kempen keselamatan serta penguatkuasaan undang-undang perlu disokong oleh masyarakat. Namun begitu, keberkesanan usaha ini amat bergantung kepada sikap dan kesedaran individu. Tanpa disiplin dan tanggungjawab bersama, risiko kemalangan dan insiden tidak diingini sukar dikurangkan.
Hakikatnya, keselamatan tidak seharusnya dilihat sebagai keutamaan di tempat kerja semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan budaya dalam setiap aspek kehidupan, termasuk ketika meraikan perayaan. Setiap keputusan yang diambil, sama ada di jalan raya, di rumah atau ketika aktiviti perayaan memberi kesan langsung terhadap keselamatan diri dan orang sekeliling.
Walaupun sesetengah tindakan kelihatan kecil dan remeh, kesannya boleh menjadi signifikan sekiranya ia melibatkan aspek keselamatan. Sebagai contoh, keputusan untuk memandu dalam keadaan letih, tidak memakai tali pinggang keledar atau menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh meningkatkan risiko kemalangan yang serius. Begitu juga di rumah, kecuaian seperti tidak menutup suis peralatan elektrik atau gagal memastikan pintu dan tingkap dikunci dengan sempurna boleh membuka ruang kepada risiko kebakaran atau jenayah.
Lebih penting lagi, keselamatan bukan sahaja melibatkan diri sendiri, tetapi turut memberi kesan kepada orang lain. Tindakan cuai seseorang individu boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya lain, ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat secara keseluruhan. Sebagai contoh, kemalangan jalan raya bukan sahaja memberi kesan secara langsung kepada mangsa, malah turut melibatkan pihak lain yang tidak bersalah. Dalam situasi kebakaran pula, kecuaian di sebuah rumah boleh merebak dan menjejaskan kediaman berhampiran. Ini jelas menunjukkan bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak.
Penting untuk kita memahami bahawa keselamatan perlu dijadikan sebagai satu budaya dalam kehidupan, bukan sekadar amalan bermusim atau hanya ketika berada di tempat kerja. Kesedaran terhadap risiko dan langkah pencegahan perlu diterapkan secara konsisten dalam setiap tindakan yang diambil.
Marilah kita menghayati bahawa keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Dalam kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri, kita tidak boleh alpa terhadap aspek keselamatan. Lindungi diri, hargai keluarga dan pastikan setiap langkah yang diambil membawa kita kembali ke pangkuan mereka dengan selamat. Sesungguhnya, keselamatan itu tiada cuti.
