Anugerah Kecemerlangan MyRA 2025 Iktiraf Penyelidik UKM

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 15 Disember 2025 – Anugerah Kecemerlangan MyRA 2025 memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta Pusat Tanggungjawab (PTj) yang cemerlang daripada pelbagai kategori.

Anugerah anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM) ini meraikan 30 penyelidik bagi kategori Kecemerlangan Individu dan 12 fakulti dan institut bagi kategori Kecemerlangan PTj.

Jawatankuasa MyRA pada tahun ini juga memilih 295 penyelidik bagi menerima Sijil Penghargaan atas sumbangan cemerlang mereka.

Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh mengucapkan tahniah kepada semua penerima atas usaha menyemarakkan budaya penyelidikan dan kecemerlangan.

“Melalui MyRA, kita bukan sahaja menilai prestasi, tetapi juga mengiktiraf kesungguhan dan daya cipta yang mengangkat UKM terus maju ke hadapan sebagai sebuah universiti penyelidikan bertaraf dunia.

“Pendekatan ini juga selari dengan aspirasi Pelan Strategik TEKAD 57 UKM 2026-2030, khususnya dalam pemerkasaan penyelidikan berimpak tinggi, pengukuhan inovasi, serta pembangunan ekosistem ilmu yang mampan dan kompetitif.

“Prestasi MyRA UKM yang terus meningkat saban tahun mencerminkan kekuatan ekosistem penyelidikan universiti yang semakin matang dan disokong oleh warga yang komited serta berdaya saing tinggi,” katanya.

Memasuki edisi ke-5 penganjurannya, Majlis Anugerah Kecemerlangan MyRA UKM kini berkembang sebagai satu ‘flagship’ berprestij universiti.

“Inisiatif ini bukan sekadar penyampaian anugerah, tetapi satu simbol bahawa usaha kita dihargai, sumbangan kita diiktiraf, dan masa depan penyelidikan UKM terus disemarakkan.

“Majlis ini akan terus menjadi tradisi tahunan yang meraikan kehebatan warga penyelidikan UKM,” kata Prof Dr Sufian.

Beliau percaya pengiktirafan yang diberikan akan menjadi suntikan semangat baharu, menggerakkan para penyelidik untuk terus mencipta impak yang lebih besar dan bermakna.

Leave a Reply