ASCON 2.0 Jadi Platform Perbincangan Komuniti ASEAN

Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 November 2025 – Persidangan Komuniti ASEAN 2.0 (ASCON 2.0) menjadi medan perbincangan dan dialog merangkumi pelbagai aspek pembentukan komuniti ASEAN.

Bertemakan “Keterangkuman dan Kelestarian”, persidangan ini memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan komuniti ASEAN yang inovatif serta mencapai kemajuan holistik dalam pelbagai aspek pembangunan serantau.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sufian Jusoh, berkata kelestarian tidak dapat dicapai tanpa keterangkuman, manakala keterangkuman pula secara terus akan membawa kepada kelestarian.

“Melalui penyelidikan rentas disiplin dalam bidang seperti teknologi hijau, dasar awam, kesihatan komuniti dan pemuliharaan, UKM terus membangunkan penyelesaian praktikal bagi menangani cabaran paling mendesak di rantau ini.

“Kami percaya bahawa ilmu pengetahuan merupakan pemangkin utama kepada keterangkuman dan kelestarian.

“Marilah kita jadikan persidangan ini sebagai pemangkin kepada kerjasama dan perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan negara-negara ASEAN,” katanya.

Persidangan anjuran Pusat Pengajian Citra Universiti (CITRA-UKM) dengan kerjasama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) serta Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) ini menghimpunkan duta-duta negara ASEAN dan tokoh akademik antarabangsa sebagai panel forum.

Pengerusi ASCON 2.0, Prof. Madya Dr. Mashitoh Yaacob, berkata persidangan ini bukan sekadar wadah ilmiah, tetapi juga platform memperkukuh jaringan antara penyelidik, pembuat dasar dan komuniti ASEAN bagi merangka pembangunan komuniti yang mampan.

ASCON 2.0 yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, UKM, pada 6 hingga 7 November 2025, merupakan siri kedua sejak penganjuran sulungnya pada tahun 2015. Persidangan ini dirasmikan oleh Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Leave a Reply