Bandar Diraja Kuala Kangsar, Simbol Perpaduan Dan Kemerdekaan

Oleh Dr Nor Haslina Ja’afar, Pensyarah Kanan Jabatan Seni Bina dan Alam Bina, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia

Malaysia bakal menyambut kemerdekaan yang ke-69 tahun ini. Jika sebelum ini simbol kemerdekaan sering dikaitkan dengan jalur gemilang, lagu patriotik dan perarakan, kali ini wajar kita melihatnya dari perspektif lain iaitu pemeliharaan Bandar Diraja sebagai lambang perpaduan dan identiti negara bangsa.

Artikel ini akan melihat Kuala Kangsar sebagai satu contoh Bandar Diraja yang terletak di negeri Perak Darul Ridzuan. Simbol kemerdekaan di bandar ini dapat ditafsirkan daripada aspek perpaduan, yang mencakupi kepelbagaian budaya, agama dan kaum, namun tetap berada di bawah satu naungan.

Bandar Kuala Kangsar juga merupakan nadi sejarah pemerintahan raja Melayu. Di atas Bukit Chandan berdiri megah Istana Iskandariah, lambang kedaulatan institusi diraja. Di sisinya pula tersergam Masjid Diraja Ubudiah berkubah emas, bersebelahan dengan Madrasah Idrisiah. Kombinasi ini memperlihatkan kesinambungan pemerintahan, agama dan pendidikan. Ia menjadi tiga ‘tiang seri utama’ dalam tamadun Melayu-Islam.

Menariknya, masjid ini tidak hanya berperanan sebagai rumah ibadat, tetapi juga menjadi penghubung antara istana dan rakyat. Inilah simbol perpaduan yang diwarisi sejak zaman Rasulullah SAW, apabila masjid dijadikan pusat ilmu, musyawarah dan masyarakat.

Namun, Kuala Kangsar bukan milik eksklusif satu kaum. Simbol perpaduan ini turut diperkaya dengan  kewujudan rumah ibadat lain seperti Tokong Chiau Hooi Beo, Gurdwara Sahib, dan Kuil Vinayagar. Aktiviti keagamaan serta kebudayaan masyarakat berbilang kaum diraikan dalam suasana aman, menandakan toleransi dan keharmonian sejak dahulu. Kepelbagaian ini menunjukkan toleransi masyarakat Melayu dengan komuniti Cina dan India, membuktikan bahawa bandar ini adalah cerminan sebenar citrawarna Malaysia.

Dari perspektif reka bentuk bandar, perpaduan di Kuala Kangsar ini selari dengan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK). Ia berteraskan kebudayaan Melayu, terbuka kepada unsur lain yang sesuai, dan Islam sebagai teras utama. Maka, perpaduan kaum di sini bukan sekadar wujud dalam kehidupan seharian, tetapi turut terjemah dalam rupa bentuk bandar itu sendiri.

Menarik untuk diperhatikan, bandar-bandar diraja lain di dunia turut melaksanakan dasar khas untuk memelihara identiti mereka. Antara bandar diraja adalah Kyoto, Jepun, yang sehingga kini masih mengekalkan rupa bandar tradisionalnya. Di Kyoto, kerajaan tempatan melaksanakan Kyoto Landskap Polisi untuk memelihara warisan bandar diraja mereka.

Antara garis panduan penting dalam dasar itu ialah konsep “borrowed scenery view” atau pemandangan pinjaman. Ia merupakan teknik reka bentuk di mana elemen landskap seperti bukit, gunung, hutan, langit atau bangunan ikonik di luar kawasan dijadikan sebahagian daripada komposisi visual. Matlamatnya ialah mencipta suasana yang harmoni dan memperkukuh hubungan antara bandar dengan persekitaran semula jadi.

Kyoto, yang dikelilingi bukit-bukau dan hutan, berjaya memanfaatkan elemen semula jadi ini untuk memperindah kawasan bandar dirajanya. Istana Diraja telah ditonjolkan dengan mengekalkan susunan reka bentuk pokok pine dan sakura di dalam kawasan istana yang harmoni bersama penyatuan latar bukit-bukau di luar. Malah menara kuil-kuil bersejarah turut “dipinjam” sebagai mercu tanda visual yang boleh dilihat dari jauh. Selain itu, dasar ini mengawal ketinggian bangunan moden serta mengehadkan penggunaan papan iklan agar harmoni dengan seni bina warisan di kawasan seperti Sannenzaka. Keseluruhannya, pendekatan ini berjaya mengekalkan identiti bandar diraja Kyoto sehingga kini.

Kuala Kangsar juga boleh memanfaatkan konsep ini. Misalnya, memelihara pandangan Masjid Ubudiah dan Istana Iskandariah dengan latar bukit, langit biru dan Sungai Perak. Gabungan ini memberi komposisi pandangan yang melambangkan sistem pemerintahan Raja Melayu-Islam, di samping menonjolkan hubungan antara raja, agama dan rakyat. Begitu juga, penempatan kampung tradisional serta Sungai Perak boleh dijadikan elemen latar dalam membentuk simbol visual kebangsaan yang unik.

Ringkasnya, Kuala Kangsar ciri penempatan asal sebelum kedatangan penjajah masih dapat dilihat. Di sinilah bertemu simbol diraja (istana), agama (masjid), rakyat (perkampungan) dan alam (bukit serta Sungai Perak). Pemeliharaan bentuk bandar ini bukan sahaja penting dari aspek warisan, tetapi juga menjadi lambang perpaduan, jati diri kebangsaan dan kemerdekaan. Ia adalah kebanggaan rakyat Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat.

Istana Iskandariah yang tersergam di Bukit Chandan, berlatar belakang bukit dan Sungai Perak, melambangkan kedaulatan Raja Melayu-Islam.

Empat elemen utama Kuala Kangsar iaitu bukit-bukau yang menjadi latar bandar diraja ini, Sungai Perak, Istana Iskandariah dan Masjid Ubudiah telah membentuk identiti bandar diraja yang unik.

Masjid Ubudiah yang berkubah emas menjadi mercu tanda agama Islam dan simbol perpaduan rakyat, dapat dilihat dari pelbagai arah bandar.

Leave a Reply