Oleh Farah Hanan Abu Hanifiah
Foto Kursi Kelestarian UKM-YSD
BANGI, 7 Julai 2025 – Bengkel Mikroalga II yang dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Teknologi Proses Mampan (CESPRO) dan Kursi Kelestarian UKM-YSD diadakan bagi meningkatkan pemahaman dan kebolehlaksanaan teknologi mikroalga dalam industri.
Bengkel yang mendapat kerjasama Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Proses (JKKP), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) adalah kesinambungan daripada edisi sulung yang telah diadakan pada 2023, dengan pengisian yang lebih komprehensif dan fokus kepada aplikasi mikroalga dalam teknologi hijau dan rawatan air sisa.
Menurut Pengerusi Bengkel Mikroalga II, Prof. Madya Dr. Peer Mohamed, penggunaan mikroalga dalam rawatan air sisa adalah satu pendekatan mampan yang mampu memberi impak besar kepada alam sekitar dan industri.
“Melalui bengkel ini, kita bukan sahaja melatih, tetapi juga membina rangkaian kerjasama yang berpotensi di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.
Bengkel yang diadakan selama dua hari itu menghimpunkan 23 peserta terdiri daripada penyelidik institusi pendidikan tinggi, industri tempatan, serta penyertaan antarabangsa dari Filipina, India, Bangladesh dan Indonesia, yang hadir secara fizikal dan maya.
Ini membuktikan komitmen CESPRO dan Kursi Kelestarian UKM-YSD dalam merintis platform penyelidikan yang inklusif dan merentas sempadan, sejajar dengan misi UKM sebagai peneraju dalam inovasi lestari.
Antara objektif utama penganjuran bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan dan latihan berkaitan teknik pengkulturan mikroalga secara efektif, biorefineri mikroalga dan aplikasi nanoselulos, kaedah pemecahan sel untuk meningkatkan hasil bioproduk dan rawatan air sisa menggunakan mikroalga sebagai agen bioremediasi.
Bengkel ini menggabungkan sesi teori, praktikal, lawatan makmal dan forum perbincangan, menjadikannya satu pendekatan holistik untuk meningkatkan pemahaman dan kebolehlaksanaan teknologi mikroalga dalam industri.
Antara modul praktikal termasuk teknik pengkulturan, penuaian, dan penurasan membran yang dijalankan di Makmal Kejuruteraan Biokimia dan Makmal Biohidrogen, JKKP FKAB.
Salah satu sorotan utama bengkel ini ialah sesi hibrid bersama dua pakar mikroalga antarabangsa, iaitu Prof. Dr. Yusuf Chisti dari Pakistan dan Prof. Ir. Dr. Mohd Sobri Takriff dari University of Sharjah, UAE.
Kedua-dua pakar tersebut telah berkongsi pandangan kritikal terhadap masa depan mikroalga, termasuk persoalan penting – adakah mikroalga benar-benar lestari sebagai penyelesaian jangka panjang? Diskusi ini telah membuka ruang kepada wacana berasaskan data dan pengalaman industri sebenar, sekaligus memperkaya perspektif peserta.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Prof. Madya Ir. Dr. Hassimi Abu Hasan, Ketua CESPRO. Beliau menegaskan bahawa penganjuran bengkel seperti ini adalah sejajar dengan aspirasi UKM untuk terus menjadi peneraju dalam penyelidikan berimpak tinggi.
Bengkel Mikroalga II 2025 membuktikan bahawa UKM kekal komited dalam memajukan agenda kelestarian global melalui pendidikan, penyelidikan dan kolaborasi strategik.

