Oleh Asmahanim Amir
BANGI, 31 Januari 2026 – Bidang Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencipta lonjakan luar biasa apabila berjaya menembusi kelompok 100 terbaik dunia buat pertama kali dalam sejarah universiti, melalui penarafan Times Higher Education (THE) World University Rankings by Subject 2026, yang diumumkan baru-baru ini.
Pencapaian itu menjadikan bidang tersebut muncul sebagai yang terbaik di Malaysia, sekali gus mengukuhkan reputasi UKM di persada antarabangsa.
Naib Canselor, Prof Dato’ Dr Sufian Jusoh berkata UKM terus mengukir pencapaian cemerlang dalam THE World University Rankings by Subject 2026, apabila diumumkan berada di kedudukan ke 201-250 tahun ini berbanding kedudukan ke 251-300 pada tahun lepas.
“Kejayaan ini merangkumi penilaian 11 bidang utama. Selain bidang Undang-Undang yang berada di kedududukan 99 terbaik dunia, bidang Sains Komputer, Sains Fizikal, Sains Sosial, Perniagaan dan Ekonomi, serta Pendidikan turut merekodkan peningkatan yang positif, sekali gus memperkukuh kedudukan UKM di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan kualiti kepakaran akademik, komitmen berterusan seluruh warga universiti serta keupayaan UKM untuk terus bersaing di pentas antarabangsa.
“Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin semangat bagi memperkukuh kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi demi mengangkat nama UKM di persada dunia,” ujarnya.
