Oleh Wan Nur Hanim Binti Mohd Yusoff
Foto Ihsan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)
KUALA LUMPUR, 9 Mac 2026 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima replika kunci Klinik Audiologi Bergerak (KAB) yang disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi memperkukuh pelaksanaan program saringan pendengaran di peringkat komuniti.
Penyerahan tersebut melibatkan sumbangan sebuah lori bernilai RM240,000.
Replika kunci diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya kepada Dekan FSK, Prof. Dr. Suzana Shahar dengan disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan dalam satu majlis yang berlangsung di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak, UKM (Hospital TABTAR), baru-baru ini.
Penyediaan lori Klinik Audiologi Bergerak ini bertujuan menyokong pelaksanaan program saringan pendengaran dalam komuniti, di samping membolehkan pengesanan serta intervensi awal masalah pendengaran dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.
Inisiatif ini juga memberi peluang kepada pelajar audiologi untuk meningkatkan penglibatan dalam aktiviti khidmat masyarakat dan latihan klinikal di lapangan.
FSK telah menerima lori KAB tersebut pada 14 Februari 2025, dan sejak penerimaannya, lori berkenaan telah memulakan program saringan pendengaran pertama di Tadika Permata MAIWP Al-Kauthar yang terletak di Jalan Raja Muda Musa, Kuala Lumpur pada 24 Februari 2025.
Menurut Prof. Dr. Suzana, Klinik Audiologi Bergerak telah menjalankan saringan pendengaran di pelbagai lokasi komuniti.
“Inisiatif ini telah membantu mengenal pasti lebih awal masalah pendengaran dalam kalangan masyarakat yang mungkin tidak menyedari keadaan tersebut.
“Melalui program saringan yang dijalankan di beberapa lokasi ini, kami mendapati sebahagian individu yang disaring menunjukkan tanda-tanda masalah pendengaran dan memerlukan penilaian lanjut oleh ahli audiologi,” katanya.
Beliau berkata dalam tempoh setahun penerimaan, KAB telah menjalankan aktiviti saringan di 17 lokasi berbeza, dengan sembilan daripadanya merupakan Tadika Permata MAIWP.
“Daripada kira-kira 800 individu yang telah disaring, lebih daripada 35 peratus didapati gagal ujian saringan pendengaran dan memerlukan penilaian lanjut oleh ahli audiologi,” ujarnya.
Inisiatif itu dilihat amat penting dalam membantu memudahkan akses masyarakat yang menghadapi kesukaran mendapatkan perkhidmatan klinikal di samping menyokong pengesanan awal masalah pendengaran bagi meningkatkan kualiti kehidupan serta perkembangan komunikasi khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Melalui sumbangan ini, kerjasama antara MAIWP dan UKM dijangka dapat terus diperkukuh bagi memperluaskan program saringan pendengaran komuniti pada masa hadapan.
Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, malah menyokong pembangunan pendidikan dan latihan klinikal dalam bidang audiologi di UKM.
