Oleh Dr. Noorfadzlin Sakina Abdullah
KUALA LUMPUR, 7 Julai 2025 – Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) telah berjaya melaksanakan satu prosedur pembedahan laparoskopi kompleks ke atas seorang pesakit wanita yang menghidap endometriosis kronik.
Prosedur ini telah dilaksanakan melalui kerjasama antara pasukan pembedahan yang diketuai oleh Profesor Dr. Nirmala Chandralega Kampan, Pakar Perunding Ginekologi Onkologi dari HCTM UKM bersama Dr. Sharifah Halimah Jaafar, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi merangkap Pakar Bedah Robotik dan Endometriosis dari Hospital PICASO, yang juga merupakan Presiden Persatuan Advanced Minimally Invasive Surgery, Robotic & Ablation Society of Gynaecologists Malaysia (AMRAS).
Pembedahan ini turut disertai oleh Profesor Dr. Ani Amelia, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi UKM/HCTM dan Dr. Nurul Wahidah Wagimon, Pakar Obstetrik dan Ginekologi HCTM. Kolaborasi ini terhasil daripada inisiatif Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Profesor Madya Dr. Ixora Kamisan Atan, melalui termeterainya Memorandum Persefahaman antara UKM/HCTM dan AMRAS.
Pesakit telah disahkan menghidap endometriosis sejak tahun 2012 dan mengalami gejala senggugut yang teruk serta haid berlebihan, yang secara signifikan menjejaskan kualiti hidupnya.
Sebelum ini, pesakit itu pernah menjalani beberapa pembedahan berkaitan ketumbuhan ovari di hospital lain, namun masalah kesihatan berulang dan simptom tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan. Pesakit turut mengalami komplikasi serius dikenali sebagai ‘frozen pelvis’, di mana tisu endometriosis menyebabkan organ-organ dalam pelvis melekat antara satu sama lain dan membentuk satu struktur konglomerat yang kompleks.
Setelah perbincangan mendalam antara pakar-pakar terlibat, satu keputusan dibuat untuk menjalankan rawatan melalui pendekatan pembedahan laparoskopi.
Prosedur yang dijalankan ialah ICG-Guided Total Laparoscopic Hysterectomy and Bilateral Salphingoophorectomy with Excision of Pelvic Endometriotic Tissue, yang berlangsung selama tiga jam empat puluh lima minit dan berjaya disempurnakan tanpa sebarang komplikasi. Pesakit berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan dan dibenarkan pulang pada hari kedua selepas prosedur.
Kejayaan pembedahan ini menjadi bukti keberkesanan pendekatan rawatan multidisiplin dalam menguruskan kes endometriosis yang kompleks. Ia juga mengukuhkan lagi jalinan strategik antara pakar tempatan dan pakar luar, serta mencerminkan komitmen UKM dan HCTM dalam menyediakan rawatan berteknologi tinggi kepada pesakit di Malaysia.
