ICEEI 2025 Beri Tumpuan Ilmu Informatik dan Kejuruteraan Elektrik

Oleh Nudiyana Mohd Yassin
Foto Mohd Ismahashimi Mohd Sabri

BANGI, 3 Disember 2025 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) menganjurkan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan Elektrik dan Informatik ke-10 (ICEEI 2025) yang memberi tumpuan kepada pelbagai bidang ilmu informatik dan kejuruteraan elektrik.

Bertemakan Mengharmonikan Pengkomputeran Generasi Akan Datang, Sistem Pintar dan Kejuruteraan Elektrik yang Mampan, persidangan yang diadakan di Kuching, Sarawak itu turut mendapat kerjasama daripada Institut Teknologi Bandung, Indonesia dan Business Events Sarawak.

Pengarah Pusat IDEA, yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr. Jamia Azdina Jamal  berkata  kemajuan pesat dalam bidang teknologi pintar dan kejuruteraan elektrik telah membuka pelbagai peluang baharu bagi pembangunan sosial, ekonomi dan industri.

Namun begitu, katanya proses mengharmonikan kemajuan ini dengan keperluan serta nilai generasi baharu menimbulkan pelbagai cabaran yang perlu ditangani secara strategik.

Menurut beliau, keseimbangan antara inovasi teknologi dengan pembangunan modal insan seiring dengan kemajuan yang dicapai dapat memberi manfaat secara menyeluruh dan berterusan kepada masyarakat.

“Selaras dengan aspirasi nasional, usaha kami turut mendukung objektif Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), yang menempatkan sains, teknologi dan inovasi sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan mampan Malaysia.

“Dasar ini menitikberatkan kepentingan penterjemahan hasil penyelidikan, pengkomersialan, serta pembangunan bakat bagi membentuk sebuah negara yang berdaya saing dan berteraskan teknologi.

“Seiring dengan semangat tersebut, UKM terus memperkukuh ekosistem penyelidikannya agar selaras dengan keutamaan nasional, sekali gus memupuk budaya inovasi yang memberi impak signifikan di peringkat tempatan serta relevan di peringkat global,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Beliau berharap agar persidangan itu berupaya membentuk intervensi teknologi pintar  yang mencetuskan inovasi yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat yang melangkaui batas akademia.

ICEEI 2025 menjadi platform pertemuan ilmuwan, penyelidik, pembuat dasar dan pemain industri bagi membincangkan pendekatan strategik serta membentangkan hasil kajian dalam usaha mendepani era baharu ini.

Pemilihan Sarawak sebagai lokasi persidangan turut menarik minat peserta untuk hadir secara fizikal, sekali gus menyerlahkan lagi keunikan dan daya tarikan negeri Sarawak.

Leave a Reply