Oleh Nurin Batrisyia Bukhari
Foto INBIOSIS
SHENZEN, CHINA, 9 Ogos 2025 – Pasukan pelajar siswazah yang dikenali sebagai IGNITE UKM (INBIOSIS Genetic Innovation & Technology Engineers Universiti Kebangsaan Malaysia) daripada Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), telah meraih kejayaan yang cemerlang di pertandingan berprestij SynBio Challenges 2025.
Pasukan yang terdiri daripada tujuh orang pelajar siswazah INBIOSIS berjaya mara ke peringkat akhir dalam Laluan Rekabentuk Protein (Protein Design Track) dan Laluan Sel Sintetik (Synthetic Cell Track). Ia diketuai oleh Hazlam Shamin Ahmad Shaberi.
Di pertandingan akhir, IGNITE UKM berjaya merangkul Pingat Emas dan Anugerah Protein Paling Terang (Outstanding Brightness) dalam Laluan Reka Bentuk Protein serta, meraih Pingat Perak bagi Laluan Sel Sintetik.
Bagi dua laluan tersebut, sebanyak 132 kumpulan pelajar telah menggunakan pendekatan biologi sintetik termasuk aplikasi AI untuk mereka bentuk protein terjurutera yang kemudiannya dihasilkan dan diuji keupayaannya menggunakan fasiliti automasi biofaundri di Shenzhen Infrastructure of Synthetic Biology.
Selain itu, pasukan yang dipimpin oleh felo penyelidik INBIOSIS, Dr Ahmad Bazli Ramzi, ini turut terpilih sebagai pasukan lima Teratas (TOP 5) bagi merebut hadiah utama SynBio Challenge 2025.
“Saya dan pelajar-pelajar rasa teruja bila mendapat berita yang kami layak masuk ke Peringkat Akhir memandangkan persiapan kami yang agak singkat kerana hanya dapat tahu tentang pertandingan pada pertengahan bulan Mei.
“Pencapaian ini jelas membuktikan keupayaan penyelidik muda tempatan dalam bidang biologi sintetik dan AI dalam biologi yang berkembang pesat di peringkat global,” katanya.
Beliau juga menerangkan pendekatan yang digunakan oleh IGNITE UKM bagi memastikan protein kejuruteraan mereka mempunyai fungsi (bercahaya) yang berganda dan stabil berbanding protein jenis asal.
“Kami melatih model AI menggunakan set data daripada biofoundry penganjur, iaitu fasiliti berteknologi tinggi yang mengautomasi eksperimen biologi untuk menghasilkan data yang konsisten dan berkualiti tinggi.
“Model AI ini dibangunkan untuk melengkapkan satu sama lain dengan kepakaran manusia dalam bidang biologi, bukannya menggantikannya.
“Selain menapis mutasi yang berkualiti tinggi, AI ini juga boleh menyusun dan mengutamakan gabungan mutasi yang paling berpotensi untuk protein yang dikaji, seterusnya memberi panduan mutasi mana yang wajar dibina di makmal sebenar,” jelas beliau.
Pertandingan antarabangsa biologi sintetik yang dianjurkan oleh Chinese Society of Biotechnology sejak 2022 ini menghimpunkan hampir 1900 penyelidik muda dari universiti terkemuka iaitu negara China, Rusia, Singapura, Jepun, Thailand dan Malaysia.
Selain itu, acara ini mempamerkan inovasi belia dalam bidang biologi sintetik, menggalakkan kolaborasi rentas disiplin serta penyelesaian mampan bagi cabaran global.

