Ilmu Ada, Komunikasi Tiada: Realiti Pendidikan Kesihatan Seksual Dan Reproduktif Di Rumah

Oleh Prof. Madya Dr. Noor Azimah Muhammad

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran ibu bapa tentang kepentingan pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif (SRH) kepada anak-anak semakin meningkat. Isu ini tidak lagi dianggap tabu sepenuhnya, malah semakin ramai ibu bapa mengakui bahawa anak-anak perlu dilindungi dengan ilmu yang betul, lebih-lebih lagi dalam dunia digital yang serba terbuka dan mencabar. Namun, kesedaran tidak semestinya diterjemahkan kepada tindakan.

Kajian terkini pada tahun 2025 menunjukkan satu realiti yang penting untuk diberi perhatian. Tahap pengetahuan ibu bapa mengenai SRH berada pada tahap tinggi, dengan skor purata sekitar 28 daripada 30, namun tahap komunikasi mereka dalam memberikan pendidikan SRH kepada anak-anak di rumah masih rendah.  Pengetahuan yang ada tidak disampaikan kepada anak-anak, dimana dalam kajian yang sama mendapati tahap pengetahuan anak remaja berada pada tahap sederhana, dengan skor purata 19.6 daripada 30. Terdapat kelompongan pengetahuan dalam topik-topik penting seperti penyakit jangkitan kelamin, kehamilan, identiti jantina dan keselamatan digital.

Dapatan ini membawa mesej yang jelas iaitu masalah utama hari ini bukan kekurangan ilmu, tetapi kegagalan ibu bapa untuk memindahkan ilmu tersebut kepada anak-anak melalui komunikasi dalam keluarga.

Maklum balas ibu bapa melalui pelbagai sesi ceramah dan advokasi mengukuhkan dapatan ini. Ramai ibu bapa menyatakan mereka sedar tentang kepentingan pendidikan SRH, namun masih tidak melakukannya di rumah. Antara alasan yang sering diulang ialah tidak tahu bagaimana hendak memulakan perbualan, takut menggunakan istilah yang salah, bimbang anak salah faham, atau merasakan anak masih terlalu kecil.

Akibatnya, pendidikan SRH sering ditangguhkan, sama ada dengan harapan sekolah akan mengambil alih peranan tersebut, atau sehingga anak sendiri terlibat dengan aktiviti salah laku termasuklah mengamalkan seks sebelum berkahwin. Malangnya, dalam tempoh penangguhan ini, anak-anak telah terdedah kepada pelbagai maklumat melalui internet, media sosial dan rakan sebaya di mana sumber yang di terima mereka tidak semestinya tepat, selamat atau selari dengan nilai keluarga.

Hakikatnya, ibu bapa adalah individu yang paling hampir dengan anak-anak, mereka lebih  memahami emosi dan perkembangan anak-anak dan menjadikan mereka paling sesuai untuk menyampaikan pendidikan SRH dirumah yang boleh dilakukan secara berperingkat mengikut tahap kematangan anak dan berlandaskan nilai agama dan keluarga sendiri. Pendidikan SRH di rumah bukan bermaksud mengajar anak terlalu awal atau terlalu terperinci, tetapi membantu mereka memahami tubuh badan sendiri, mengetahui batas pergaulan, mampu menjaga keselamatan diri dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri serta orang lain.

Dalam masa yang sama, maklum balas ibu bapa secara konsisten inginkan agar pendidikan SRH dilaksanakan dalam kerangka yang lebih menyeluruh dan praktikal. Mereka mahukan penekanan kepada perlindungan dan keselamatan diri anak, mengintegrasikan elemen spiritualiti, nilai agama dan budaya tempatan, supaya mesej yang disampaikan selari dengan pegangan keluarga dan norma masyarakat Malaysia.

Dari sudut dasar keluarga, dapatan ini membawa implikasi yang besar. Pendidikan SRH tidak boleh terus dilihat sebagai tanggungjawab sekolah atau sektor kesihatan semata-mata. Ia perlu diinstitusikan sebagai komponen teras pembangunan keluarga, dengan ibu bapa diiktiraf sebagai pendidik utama. Ini memerlukan sokongan yang berstruktur, berterusan dan ditahap kebangsaan.

Walaupun pelbagai sumber sokongan untuk ibu bapa sebenarnya telah wujud, termasuk siri ceramah dan webinar oleh pelbagai agensi, bahan bacaan keibubapaan serta modul latihan berkaitan komunikasi keluarga; kebanyakannya masih dilaksanakan secara terpisah dan tidak berterusan. Cabaran dasar ketika ini ialah memastikan inisiatif-inisiatif tersebut diselaras, diperkukuh dan diperluaskan secara sistematik di seluruh negara, serta dinilai keberkesanan dan impaknya secara berstruktur, bukan terus bergantung kepada usaha terpencil atau sukarela semata-mata. Pendekatan yang lebih tersusun ini penting bagi memastikan inisiatif memperkasa ibu bapa untuk menjalankan pendidikan SRH di rumah dapat dilaksanakan dengan lebih yakin, berperingkat dan selari dengan nilai keluarga oleh semua keluarga di Malaysia.

Kesimpulannya, realiti pendidikan SRH dalam keluarga hari ini bukan lagi soal kesedaran atau pengetahuan. Ilmu sudah ada, tetapi komunikasi masih tiada. Sudah tiba masanya ibu bapa melangkah daripada tahu kepada buat. Pendidikan SRH perlu kembali ke rumah, tempat paling hampir, paling selamat dan paling berpengaruh dalam membentuk anak-anak yang berpengetahuan, berakhlak dan mampu melindungi diri dalam dunia yang semakin kompleks dan mencabar.

Leave a Reply