Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 8 Disember 2025 – Naib Canselor, Prof Dr Sufian Jusoh menyeru agar warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadikan integriti sebagai budaya kerja yang diterapkan dalam setiap proses membuat keputusan, urusan dengan pelajar, pelaksanaan amanah serta penggunaan sumber universiti.
Menurutnya, usaha ini mampu memperkukuh sistem tadbir urus universiti ke arah sistem yang telus dan berakauntabiliti sekaligus memperkukuh kedudukan UKM sebagai model kecemerlangan integriti dalam sektor pendidikan tinggi.
“Nilai-nilai integriti yang tinggi juga dapat membendung aktiviti rasuah yang boleh menggugat kepercayaan dan mencemarkan nama baik institusi.
“Ia boleh bermula dengan tindakan kecil yang dianggap remeh, namun kesannya mampu meruntuhkan integriti organisasi yang dibina sekian lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Integriti dan Hari Antirasuah peringkat UKM, anjuran Pusat Integriti dan Ombudsman dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM).
Pada majlis ini juga, Prof Dr Sufian turut menandatangani Polisi Antirasuah UKM yang menunjukkan komitmen universiti untuk menjunjung integriti, ketelusan dan tadbir urus bebas rasuah.
Menurutnya, majlis ini adalah selari dengan saranan Yang Berhormat Menteri Pendidikan Tinggi yang telah mengumumkan keperluan memperkasakan Unit Integriti di semua Universiti Awam.
“UKM telah menyahut aspirasi ini dengan menaik taraf Unit Integriti kepada Pusat Integriti dan Ombudsman yang kini diketuai oleh Prof. Dr. Zinatul Ashiqin Zainol sebagai Pengarah.
“Saya percaya majlis ini akan membuka mata dan minda kita tentang tanggungjawab dan amanah kita sebagai warga UKM yang komited untuk berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau lagi, pelaksanaan agenda integriti diperkukuh melalui pelbagai inisiatif yang menzahirkan komitmen berterusan universiti dalam memartabatkan budaya integriti dan antirasuah dalam kalangan warga universiti.

