Oleh Muhammad Hazriq Hamqa Shaharudin
Foto oleh Unit Media Program JurisXplore 2025
BANGI, 18 September 2025 – Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Program Mobiliti Pelajar Antarabangsa: JurisXplore 2025 selama lima hari bermula 8 September 2025.
Seramai 19 peserta dari Indonesia dan Uzbekistan mengikuti program ini yang bertujuan memperkukuh jaringan akademik serantau melalui pendedahan terhadap sistem perundangan, warisan budaya, serta kepelbagaian komuniti di Malaysia.
Dekan Fakulti Undang-Undang, Prof. Dr. Rasyikah Md. Khalid berkata JurisXplore 2025 bukan sekadar program mobiliti, tetapi wadah penting untuk memperkenalkan kekuatan UKM sebagai pusat ilmu, budaya dan warisan kepada pelajar antarabangsa.
“Saya percaya pengalaman yang mereka peroleh di sini akan menjadi jambatan persahabatan serta kerjasama akademik yang berpanjangan,” katanya.
Sepanjang program, para peserta dibawa melawat ke beberapa destinasi ilmiah dan bersejarah termasuk Muzium Warisan Akademik UKM, Balai Busana Melayu, Perpustakaan Tun Seri Lanang, Bandaraya Melaka, Istana Kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Parlimen Malaysia, Sekinchan dan Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang.
Seorang peserta dari Universitas Islam Indonesia, Yesa Salakova menyifatkan program ini sebagai pengalaman bermakna.
“Kami sangat terinspirasi dengan cara UKM menampilkan budaya, undang-undang dan masyarakat Malaysia dalam satu program yang padat.
“Ia bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga pengalaman baharu yang akan kami bawa pulang ke negara masing-masing,” katanya.
Penganjuran JurisXplore 2025 bukan sahaja membuka ruang perkongsian ilmu dan pengalaman, malah mengukuhkan lagi kerjasama serta persahabatan antarabangsa, sejajar dengan usaha UKM memperkasakan kedudukannya sebagai pusat ilmu dan jaringan serantau.

