Oleh Nur Izzati Ab Rahman
Foto Pusat Komunikasi Korporat
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meraikan acara gilang-gemilang Karnival Konvokesyen ke-53 (KARKON 2025) yang diadakan bersempena Majlis Konvokesyen Ke-53 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang berlangsung meriah bermula 22 November hingga 4 Disember 2025.
Bertemakan “Legasi Rentak Madani,” penganjuran kali ini bukan sahaja meraikan kejayaan 13,904, malah menjadi pentas utama bagi menyemarakkan warisan serta semangat kebersamaan warga kampus.
Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman berkata KARKON 2025 adalah manifestasi terbaik semangat kebersamaan ‘Legasi Rentak Madani’.
“Penganjuran mega oleh mahasiswa ini membuktikan bahawa graduan kita bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi memiliki kemahiran insaniah yang tinggi dan mampu menjadi pemimpin acara bertaraf nasional,” katanya.
KARKON 2025 yang digerakkan oleh 443 mahasiswa bersama HEP-UKM membuktikan keupayaan penganjuran bertaraf tinggi yang dianjurkan oleh mahasiswa untuk tempoh tiga tahun berturut-turut.
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Sufian Jusoh pada 22 November dan dimeriahkan dengan kehadiran Ahli-Ahli Lembaga Pengarah Universiti serta barisan Pengurusan Tertinggi Universiti.
Sorotan Acara Meriah: Lapan Hari Penuh Makna
KARKON 2025 menampilkan jadual padat dengan 27 program dan aktiviti yang dirangka teliti, menawarkan spektrum pengalaman daripada persaingan sihat hinggalah kepada penglibatan komuniti.
Pertempuran Seni dan Bakat Kampus
Malam-malam di UKM disemarakkan dengan bunyi sorakan dan muzik. Sebanyak lapan acara pertandingan kebudayaan menjadi tumpuan, menyaksikan kolej-kolej kediaman berentap sengit. Antaranya termasuklah Senada Cinta, Gegar Legenda X Awal Muzik, Gemalai Rampai, Nada Sakinah, Senandung Tradisi, Rentak Pop Dan Muzik Merentas Zaman. Persaingan ini dihangatkan lagi dengan selitan persembahan artis jemputan yang memukau, menjadikan setiap malam kemuncak hiburan KARKON.
Di samping itu, para pengunjung turut diberikan lima acara persembahan interaktif dan sesi bersama pihak penaja, membolehkan interaksi lebih rapat dengan industri.
Sukan, Kesihatan, dan Solidariti Kemanusiaan
Bagi peminat gaya hidup sihat, enam acara sukan dianjurkan untuk mencabar ketangkasan fizikal, termasuk Arena Tempur Digital. Selain itu, Larian NEON yang menjadi acara puncak mendapat sambutan luar biasa dengan kira-kira 900 peserta menyertai acara ini dengan warna-warni neon.
Program Karkon Sihat juga diadakan sempena sambutan Hari AIDS Sedunia yang disambut pada pada 1 Disember. Program hasil kerjasama strategik dengan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat ini menunjukkan komitmen UKM memperkukuh literasi kesihatan komuniti.
Dalam pada itu, UKM membuktikan bahawa semangat setiakawan melangkaui sempadan. Program Solidariti Palestin diadakan melalui sesi perkongsian penuh inspirasi, “Demi Palestin: Pengalaman Bersama Misi Freedom Flotilla,” yang disampaikan oleh Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, memperlihatkan sokongan padu warga kampus terhadap isu kemanusiaan.
Tumpuan Inovasi dan Reruai Usahawan
Karnival ini turut menjadi hab bagi penglibatan industri, alumni, dan inovasi. Sebanyak lapan acara melibatkan industri dan alumni serta empat acara berbentuk inovasi telah disusun, membuka ruang jaringan dan perkongsian ilmu yang bermanfaat.
Selain itu, tarikan utama pengunjung adalah kehadiran 38 vendor/reruai, termasuk usahawan mahasiswa, yang menawarkan pelbagai makanan, minuman, bunga, dan perkhidmatan gambar, menjadikan suasana karnival sentiasa hidup dan berwarna-warni.
Kemuncak Gemerlap: Penutupan Karkon
Karnival Konvokesyen yang melabuhkan tirai pada 3 Disember 2025 berlangsung dengan gemilang gemilang.
Majlis penutupan kali ini diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari . Kehadiran beliau pastinya menyerlahkan lagi kepentingan acara ini sebagai platform penganjuran akademik dan kemasyarakatan yang berprestij di negeri Selangor.
Selain itu, majlis penutupan juga turut disemarakkan dengan persembahan eksklusif artis jemputan tanah air, menjanjikan malam yang tidak dapat dilupakan.
Jawatankuasa Penganjur KARKON 53 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak penaja yang telah memberikan sokongan padu, sekali gus menjayakan penganjuran karnival berskala besar ini. Setinggi-tinggi tahniah dan syabas turut diucapkan kepada Sekretariat KARKON 53 yang telah digerakkan oleh 443 mahasiswa bersama HEP-UKM serta Hal Ehwal Pelajar dan Alumni atas kerja keras bagi memastikan kelancaran dan kejayaan luar biasa karnival bertema “Legasi Rentak Madani” ini.

